SEMUA atlet ke Sukan Asia Hangzhou digesa, mula mengurangkan masa melayari media sosial dan fokus kepada latihan untuk memburu pingat di temasya itu.
Gesaan itu dibuat Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Chong Kim Fatt, kerana pihaknya mahu sebaik temasya bermula, atlet hanya fokus kepada pertandingan dan mengenepikan media sosial secara total.
“Amaran kepada atlet kita, sebaik pertandingan bermula, no handphone.
“Jangan tengok IG (Instagram), FB (Facebook) dan sebagainya kerana ia boleh menjejaskan emosi.
“Kita mahu atlet mempunyai semangat go to gold (pergi untuk pingat emas),” kata Kim Fatt, selepas melakukan lawatan ke latihan gimnastik artistik dan gimrama di Gimnasium Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Menurutnya, atlet perlu berhenti melayari media sosial sebaik pertandingan bermula, bagi melindungi emosi atlet itu sendiri,
“Matlamat kita adalah pergi memenangi pingat di gelanggang, ini matlamat utama, selama dua minggu, kita pergi untuk berjuang,” katanya.
Menurutnya, media sosial tidak dinafikan ada manfaatnya namun aspek negatif juga banyak kerana boleh menjejaskan tumpuan utama atlet dalam mencapai sasaran ditetapkan.
“Selain itu, jika bermain media sosial, nanti ada orang komen kamu bagus atau sebaliknya, takut kamu akan marah dan akhirnya mengganggu emosi.
“Saya juga tidak mahu atlet ke Hangzhou, membuat kenyataan ‘saya sudah cuba’, ‘tengoklah bagaimana’… ini bukan masanya.
“Dalam tempoh dua minggu, lawanlah sebaik mungkin dan pergi untuk mendapatkan emas,” ujarnya lagi.
Kontinjen negara diwakili 434 orang yang terdiri daripada 289 atlet dan 145 pegawai (209 lelaki dan 125 wanita).
Kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam 22 daripada 40 sukan dipertandingkan.
Malaysia mengambil bahagian dalamakuatik (terjun, renang), badminton, berbasikal (trek dan lebuhraya), bola keranjang 3×3, dragonboat, ekuestrian, gimnastik (artistik dan gimrama), hoki, jujitsu, karate, kabbadi, kriket, memanah, menembak, e-sukan, go, xiangqi, olahraga, pelayaran, ragbi, skuasy, taekwondo, tinju dan wushu.