PENGADIL yang merungut mengenai bayaran dan enggan berkhidmat dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), tidak dipaksa bertugas namun Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan mengambil tindakan tegas, menghalang mereka daripada bertugas pada perlawanan antarabangsa.
Amaran keras itu dikeluarkan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal selepas berang dengan segelintir pengadil yang didakwa beliau menggunakan platform media, sebagai saluran menyuarakan rasa tidak puas hati mereka berhubung isu bayaran elaun pengadilan.
Dalam sidang media di pejabatnya, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Subahan berkata, hoki bukan tempat untuk pengadil ini mencari duit lebih kerana badan induk hoki negara itu tidak pernah memaksa mereka untuk menjalankan tugas itu dan ia dibuat atas kerelaan sendiri.
“Siapa-siapa pengadil yang merungut saya akan pastikan mereka tidak akan ditonjolkan di peringkat tempatan ataupun antarabangsa.
“Ini arahan saya, kepada mana-mana pengadil yang tidak mahu menjadi pengadil di liga kebangsaan kita, saya akan keluarkan surat rasmi kepada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) dan juga Hoki Asia untuk menghalang mereka menjadi pengadil di peringkat antarabangsa. Itu arahan saya.
“Kedua, jika ada pengadil yang terlalu fikirkan duit, carilah sukan lain. Hoki bukan tempatnya. Kita beri mengikut kemampuan jangan fikir ini tempat untuk mereka cari duit,” kata Subahan.
Subahan menjelaskan keutamaan KHM hari ini adalah untuk pasukan kebangsaan, kebajikan pemain dan jurulatih serta sokongan dana untuk negeri-negeri menganjurkan pertandingan.
“Saya di sini sebagai presiden pun tak pernah menerima gaji, tak pernah claim satu sen pun kerana ia tanggungjawab sosial terhadap negara tercinta dan sukan yang dicintai.
“Pengadil inipun kebanyakan mereka sudah bekerja jadi janganlah fikir tempat ini untuk cari rezeki lebih sebab kita bayar mereka berdasarkan apa yang kita mampu,” katanya.
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan sebahagian pengadil mengambil pendekatan untuk ‘memboikot’ Liga Hoki Malaysia 2024 selepas timbul beberapa isu yang tidak memihak kepada mereka.
Perkara itu terjadi selepas sebahagian pengadil berasa kecewa apabila kadar bayaran elaun yang sepatutnya diterima, didakwa diturunkan tanpa sebarang notis, perbincangan dan sistem pembayaran yang dilakukan juga terlalu lewat dari KHM.
Pengadil bertugas dalam padang pernah menerima bayaran RM65 bagi satu perlawanan manakala RM50 bagi pengadil simpanan, sebelum kadar itu dinaikkan pada 2018, kepada RM90 dan RM70.
Namun untuk saingan liga musim ini, kadar itu didakwa diturunkan tanpa notis kepada RM80 dan RM40.