PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menilai luahan hati Datuk Azizulhasni Awang di laman Facebooknya semalam, tidak mempunyai niat jahat, sebaliknya berkongsi rasa kecewa.
Naib Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya tidak mahu kekecewaan itu berlarutan dan menginginkan masalah itu segera diselesaikan dan bersedia menjadi orang tengah untuk membawa Azizulhasni dan Majlis Sukan Negara (MSN) duduk semeja.
“Buat masa ini, PKBM sentiasa bersedia untuk menjadi orang tengah antara kedua-dua pihak jika diperlukan.
“Saya berharap luahan Azizulhasni tidak disalah erti kerana yakin dia tidak berniat jahat. Malah kami mahu isu ini diselesaikan segera kerana kami tidak mahu gangguan sebegini pada saat genting dengan Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) akan bermula tidak lama lagi,” kata Amarjit, yang mahu isu itu diselesaikan secara damai.
Sebagai badan induk sukan berbasikal kebangsaan, beliau yakin MSN dan atlet di bawah naungannya sama penting buat PKBM.
Menurutnya, MSN banyak membantu dalam membangunkan sukan berbasikal, menyalurkan semua bantuan termasuk kewangan, tenaga kerja untuk mengangkat sukan ke satu tahap tinggi.
“Tetapi kami juga memahami, kadangkala mereka turut berdepan kekangan kewangan apatah lagi perlu melihat keseluruhan jenis sukan di negara ini.
“Cuma pada masa sama, Datuk Azizulhasni juga ‘istimewa’ buat kami. Berapa ramai atlet yang kami lihat menjalani pembedahan jantung terbuka dan selepas itu kembali aktif berkayuh dalam tempoh setahun, malah menunjukkan prestasi baik di kejohanan antarabangsa,” katanya.
Menurut Amarjit, beliau dapat membayangkan ketika ini Azizulhasni berada dalam tekanan yang besar selain menggalas tanggungjawab mewakili negara.
Tambah beliau, pada pertemua dengan Ketua Kontinjen (CDM) ke Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin beberapa hari lalu, isu sama turut dibangkitkan The Pocket Rocketman dan sebagaimana penyelaras Jawatankuasa Road to Gold (RTG) Datuk Stuart Ramalingam janjikan, isu terbabit akan dibawa untuk dipertimbangkan oleh jawatankuasa terbabit.
Semalam, Azizulhasni menerusi perkongsian di Facebook ‘Azizulhasni Awang’ meluahkan rasa terpendam berhubung sistem sokongan sukan di Malaysia yang dilihat belum setara berbanding ketika dia berpangkalan di Melbourne, Australia, selain isu yang ada kaitan dengan MSN.