PELUMBA Terengganu Hanelang, Amer Akbar Anuar, menebus kekecewaannya tahun lalu apabila muncul juara kategori elit lelaki Kejohanan BMX Kebangsaan 2023 di Arena BMX Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, Ahad.

Kejayaan Amer Akbar itu, membolehkannya menyarung jersi kebangsaan selaku ‘sang juara’ selepas kecewa pada edisi tahun lalu, apabila sekadar menghuni tangga kelima susulan insiden kemalangan dialami.

Pada tahun lalu, Amer terbabit kemalangan dengan rakan sepasukannya, Sany Syahmi Mohd Shafiee.

“Alhamdulillah… rezeki saya tahun ini dapat menang juara kebangsaan. Tahun lepas bukan rezeki saya menang selepas berlanggar dengan Sany di selekoh kedua terakhir ketika menuju ke garisan penamat.

“Sasaran saya tahun ini memang nak raih gelaran juara kebangsaan, sarung jersi putih selaku juara dan catat masa terbaik. Syukur saya amat berpuas hati dengan prestasi pada perlumbaan akhir hari ini,” katanya,selepas menamatkan perlumbaan.

Amer Akbar (tiga dari kanan) menebus kehampaan tahun lalu, apabila memrampas gelaran juara kebangsaan BMX 2023.

muncul juara selepas merekodkan masa 29.564 saat (s) diikuti Saniy Syahmi yang menduduki tempat kedua dengan catatan 30.239s, manakala pelumba Johor, Syed Irfan Danish Syed Anuar di tangga ketiga, 31.975s.

Sementara itu, pelumba kelahiran Terengganu yang kini mewakili pasukan ECO MTB, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin menampilkan kayuhan bertenaga ketika mempertahan kejuaraan dalam kategori elit wanita.

Bagaimanapun, Eddyna Nasuhar mengakui terpaksa berdepan dengan saingan sengit daripada barisan pencabarnya pada saingan final kali ini, berbanding ketika muncul juara kebangsaan tahun lalu.

“Sebelum final, saya tidak letak harapan tinggi untuk menang kerana saya sedar bakal berdepan beberapa pelumba handalan. Saya tahu kekuatan setiap pelumba kerana mereka juga kawan-kawan lama saya.

“Tahun ini mereka buat comeback. Jadi perlumbaan final hari ini memang cukup mencabar dan sengit sebab semua pelumba yang bertanding adalah fighter. Saya hanya cuba buat yang terbaik sehingga tamat perlumbaan,” kata Eddyna.

Eddyna Nasuhar yang meraih pingat gangsa pada ACC BMX 2022 meninggalkan dua pencabar terdekatnya, Siti Shahirah Hashim yang mewakili Terengganu Hanelang dan Puteri Balqis Masek (Johor).