TAHNIAH atas kemenangan tetapi sikap sambil lewa dalam pasukan tidak boleh ada!
Tegas nada disuarakan ketua jurulatih remaja kebangsaan Muhammad Amin Rahim, selepas kemenangan 4-2 pasukan hoki lelaki ke atas Indonesia, membolehkan pasukan meraih 12 mata penuh hasil empat perlawanan liga sepusingan.
Kemenangan itu juga membawa pasukan ke final untuk berdepan Singapura, yang memintas Indonesia selepas menang 6-1 ke atas Thailand, biarpun kedua-dua pasukan terikat 7 mata.
“Kita perlu sedar, di peringkat senior, ranking kita jauh lebih tinggi standard, jadi walaupun kita turunkan pasukan remaja, saya yakin kita oleh bermain baik dan bersaing dengan pasukan yang ada.
“Saya tidak mengatakan permainan negatif ditampilkan tapi sikap sambal lewa ditunjukkan daripada pasukan, itu kita tak nak kerana pasukan ini akan ada beberapa lagi kejohanan sebelum ke Piala Dunia Remaja.
“Sikap atau behaviour begini tidak boleh diteruskan di atas padang. Kita ada lagi Piala Remaja Asia, Piala Sultan Johor (SOJC) hujung tahun dan Piala Dunia Remaja,” kata Amin selepas tamat perlawanan.
Amin menagmbil masa agak lama berdepan pemain selepas tamat perlawanan dan dilihat menenangkan dirinya daripada persembahan mengecewakan pada perlawanan itu.
Ternyata, aksi semalam bukanlah yang terbaik dipamerkan skuad Amin apabila pemainnya bergelut mendapatkan jaringan pada suku pertama namun berjaya memecah kebuntuan pada suku kedua dan memperoleh gol daripada Shahmie Irfan Suhaimi, Muhammad Najib Abu Hassan, Mohammad Harris Iskandar Osman dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar, menjadikan kedudukan 4-0 sehingga minit ke-43.
Pemain mula mempamerkan sikap sambal lewa ketika menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada lawan dan anehnya tiada pertahanan melakukan larian ke arah flicker memudahkan percubaan dilakukan Derangga Raditya (Indonesia) dan menghasilkan gol pertama pada minit ke-44.
Selang seminit selepas itu, Derangga sekali lagi meledak kali ini menerusi gol padang, selepas penyerang itu tidak dikawal.
Amin menegaskan mindset pemain sering diperingatkan bahawa mereka ke Sukan SEA memegang status pemain senior tapi perkara sebegini masih berlaku di atas padang.
“Gol-gol lawan semuanya berlaku akibat pemain hilang fokus, bila dah leading ada rasa sudah menang, dah boleh tarik nafas lega, ini Sukan SEA, kita tak boleh ada rasa begitu.
“Setiap pemain perlu ada tanggungjawab, malah saya sendiri mengambil tanggungjawab atas prestasi mereka ini.”
Dengan tenang Amin memberitahu,: “60 minit pemainan perlu fokus tidak kira sedang mendahului 10-0 atau 20-0, selagi belum wisel penamat kita perlu fokus sepanjang 60 minit perlawanan.
“It’s all about attitude… kekal berdisiplin mengikut arahan dan perancangan, pemain perlu bagi tumpuan.”
Mengulas mengenai perlawanan akhir menentang Singapura esok, Amin mahu pemain melupakan kemenangan di pusingan awal kerana final adalah perlawanan berbeza, segala kelemahan pasukan sudah dihidu pasukan lawan.
“Singapura tetap pasukan yang berpengalaman dan sering beraksi di pentas final bersama Malaysia.
“Kemenangan ke atas Thailand membuktikan mereka antara pasukan yang ada kualiti untuk beraksi di final.
“Kami akan keluar bermain bermati-matian dan saya yakin sekiranya pemain kekal fokus dan mengikut perancangan yang diatur sebaiknya, saya tidak nampak mengapa kami tidak boleh pulang ke Malaysia dengan kalungan pingat emas,” kata Amin.
Untuk rekod, pertemua Malaysia-Singapura di pusingan awal menyaksikan skuad negara menang tipis 4-3.