PERANCANG Kedah Darul Aman FC, Amirbek Juraboev mengesahkan dia bakal meninggalkan Sang Kenari menjelang saingan musim baharu Liga Malaysia 2024-25.
Perkara ini diumumkan sendiri olehnya menerusi hantaran di laman media sosial peribadinya yang menyatakan terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan pengurusan KDA serta para penyokong yang sentiasa berada di belakang para pemain.
“Assalamualaikum semua. Ianya detik yang sukar untuk mengucapkan selamat tinggal tetapi ini adalah sebahagian daripada kehidupan dalam bola sepak. Saya mengucapkan terima kasih kepada para penyokong, barisan kejurulatihan serta kakitangan dan pengurusan.
“Ianya adalah musim yang baik buat kami dan saya gembira serta seronok dengan musim saya di sini. Selamat maju jaya untuk semua dan Kedah. Semoga diberkati dan dilindungi Allah. Jumpa lagi dan yang paling penting buat semua para penyokong hijau kuning,” tulisnya dalam hantaran itu.
Amirbek memainkan peranan penting mengawal barisan tengah skuad kendalian Nafuzi Zain itu dan jaringan penyamaannya ketika mengikat Johor Darul Ta’zim di Darul Aman pastinya akan dikenang sebagai salah satu momen terbaiknya di Alor Star.
Pemain antarabangsa Tajikistan itu juga berjaya muncul juara Pestabola Merdeka bersama skuad kebangsaannya apabila menewaskan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Oktober.
Amirbek berjaya menjaringkan enam gol untuk memastikan Sang Kenari menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat tetapi kurang bernasib baik di saingan Piala FA dan Piala Malaysia apabila tersingkir awal.