INSENTIF Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (SHAKAM) Temasya Sukan Asia dan Para Asia Hangzhou 2022 benar-benar memberi kesan kepada kepada atlet para olahraga negara, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi yang mahu melakar sejarah lebih besar, atasi rekod Paralimpik.
Pemenang pingat emas acara 400m lelaki T20 itu, bukan sahaja menyumbang pingat emas buat kontinjen para negara di Hangzhou, malah mencipta sensasi, mencatat rekod baharu temasya dan juga rekod Asia.
Justeru, atas pencapaian itu, Ammar membawa pulang wang tunai RM90,000 (pingat emas RM80,000, pecah rekod RM10,000).
“Malam ini saya rasa gembira kerana dapat insentif yang sangat banyak…. Ini paling tinggi pernah saya dapat.
“Sememangnya ia menaikkan motivasi saya untuk melayakkan diri ke Paris (Paralimpik Paris 2024), saya nak dapatkan lebih banyak imbuhan,” kata Ammar, yang mempunyai masalah intelektual (T2).”
Atlet berusia 21 tahun itu menyatakan bahawa tidak mempunyai perancangan khusus untuk menggunakan hadiah kemenangan itu, namun kekal dengan pendirian mahu melayakkan diri ke Paris 2024.
“Apa yang saya dapat malam ini (tadi) amat berbaloi dengan usaha keras latihan, jadi saya selepas ini mensasarkan untuk melakukan catatan sekitar 46 saat (s).
“Jika berjaya, saya tidak perlu fikirkan kelayakan Paralimpik lagi kerana catatan itu pasti menjadi rekod baharu temasya terbesar,” ujarnya.
Rekod 400m T20 Paralimpik kini dipegang Daniel Martins dari Brazil yang dilakukan di Olimpik Rio 2016, dengan catatan 47.22s.
Di Hangzhou, Ammar memenangi pingat emas dengan catatan 47.60s, sekali gus mengatasi rekod peribadinya 48.42s yang dilakukan di Sukan Para Asean Jun lalu.
Lebih manis, catatannya di Hangzhou mengatasi rekod kejohanan milik atlet negara, Nasharudin Mohd (49.32s) selain memecah rekod Asia milik atlet Iran, Ramzani, 47.80s.
Ammar berkata, dia mahu melakukan catatan sekitar 46s di Kejohanan Para Dunia yang akan berlangsung di Kobe, Jepun pada 17 hingga 25 Mei tahun hadapan.
Sebelum Kejohanan Dunia itu, dia dijangka menyertai beberapa kejohanan yang akan bermula pada Februari 2024.