MALAM serba menjadi buat Sabah FC apabila tidak menghadapi masalah membenam cabaran Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menang besar 4-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, pada Ahad.

Penyerang veteran, Amri Yahyah mencuri tumpuan dengan membuktikan dirinya masih berbisa atas padang apabila mencipta hatrik di minit ke-51, m-61 dan m-71 sementara satu gol lagi dijaringkan oleh Park Tae-su menerusi sepakan percuma.

Walaupun sudah berusia 41 tahun, kelibat Amri acap kali mencemaskan benteng pelawat yang sentiasa membayanginya namun faktor pengalaman jelas milik anak jati Tanjong Karang itu.

Begitu juga Baddrol Bakhtiar, meskipun terlepas peluang sepakan penalti namun cukup banyak memainkan peranan penting menggerakkan bahagian tengah Sabah FC dengan baik mengecewakan bekas pasukan lamanya buat kali pertama sepanjang karier.

 

Kemenangan dilakar di halaman sendiri itu jelas menggembirakan para penyokong The Rhinos kerana kini merampas kembali kedudukan kedua liga daripada KDA FC  berdasarkan kelebihan jaringan dan mengutip 12 mata.

Sementara itu, Negeri Sembilan FC (NSFC) kembali mencabar kelompok atasan liga selepas mengalahkan Kuala Lumpur City FC 2-1 di Stadium Paroi.

Aksi pemain Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City di Stadium Tuanku Abdul Rahman. Foto: FLASH SUKAN

Sepakan penjuru Zaquan Adha ditanduk masuk oleh Herold Goulon m-47 untuk gol pendahuluan namun KL City menyamakan kedudukan hasil jaringan gol sendiri pemain tuan rumah m-75. Herold Goulon kembali meletakkan NSFC di depan seminit kemudian dan kedudukan kekal sehingga ke wisel penamat.

Dua perlawanan Liga Premier menyaksikan PDRM tewas 1-3 kepada Kelantan FC manakala aksi antara Terengganu FC II dan Selangor FC II berkesudahan terikat 0-0.