PEMAIN Korea Selatan, An Se Young menepati ramalan awal apabila berjaya mengungguli pingat emas selepas menang dalam perlawanan akhir acara badminton kategori perseorangan wanita di Sukan Olimpik Paris 2024.
Kilauan pingat emas menjadi milik pemain berusia 22 tahun itu selepas dia berjaya menumpaskan pemain China, He Bing Jiao 21-13, 21-16 dalam berlangsung di Arena Porte de La Chapelle.
An menguasai keseluruhan permainan dengan aksi bertenaga sambil He cuba memberikan tentangan terbaik namun masih gagal untuk menyekat kemaraan pemain yang sedang berada pada tahap terbaik ketika ini.
Tambah manis, keputusan itu juga menamatkan kemarau selama 28 tahun pingat emas Kontinjen Korea Selatan dalam kategori perseorangan wanita di Sukan Olimpik.
Kali terakhir perseorangan wanita Korea Selatan memenangi pingat emas di Sukan Olimpik adalah menerusi Bang Soo Hyun ketika Temasya Atlanta pada tahun 1996.
Kemenangan itu juga memberikan An Se Young koleksi kejuaraan individu bagi kejohanan Gred 1 terbaharu buat dirinya selepas menjuarai Kejohanan Dunia BWF 2023.
Pingat gangsa kategori perseorangan wanita menjadi milik pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung yang memperolehi kemenangan percuma selepas kecederaan melanda Carolina Marin pada peringkat separuh akhir memaksanya untuk menarik diri.