SIAPA sangka aksi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan pertemuan antara pasukan Arab Saudi, Al-Nassr dan Istiklol dari Tajikistan di Riyadh pada Selasa turut ‘disertai’ warga Malaysia.
Individu dimaksudkan adalah Abang Zulkarnain Abang Abdul yang diberi kepercayaan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menjadi komisioner perlawanan bagi pertembungan berkenaan yang dimenangi kelab diwakili Cristiano Ronaldo.
Berdasarkan rekod, Abang Zulkarnain atau dikenali sebagai Abang Zul adalah dipilih sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi penggal 2023-2025 bagi menggantikan Datuk Posa Majais.
Bekas Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menang tanpa bertanding selepas mendapat sokongan majoriti 12 ahli gabungan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM FAS 2023-2025).
Untuk rekod, anak jati Sarawak yang kini berusia 57 tahun itu memulakan kerjaya sebagai setiausaha eksekutif FAS pada tahun 1988.
Selepas itu, beliau menyertai FAM pada tahun 2013 dan menjawat pelbagai jawatan sebelum meletak jawatan sebagai Penolong Setiausaha Agung merangkap Pengarah Jabatan Pertandingan FAM pada tahun 2022 atas alasan peribadi.
Done with another assignment. It's time to return home & prepare for the next one 🇸🇦 🇲🇾 🇹🇼 pic.twitter.com/CKprdUCyuo
— Abang Zulkarnain (@AbangZulkarnain) October 3, 2023
“Selesai dengan tugasan lain. Sudah tiba masanya untuk pulang dan bersiap untuk yang seterusnya,” ciapnya di platform X.
Terdahulu, pengadil Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin didampingi oleh dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid telah muncul dalam perlawanan Piala Juara-Juara Asia (ACL) 2023/24 dengan menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Sejarah itu telah dilakar apabila beliau dipilih untuk menjadi pengadil dalam aksi pertembungan antara Buriram United dan Zhejiang FC dari China yang berlangsung di Stadium Chang Arena, Thailand pada 20 September lepas.