Oleh MOHD FARIQ

JIKA Johor Darul Ta’zim (JDT) itu boleh diibaratkan seperti karya agung potret The Starry Night maka, Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah tokoh Vincent van Gogh Harimau Selatan.

Itulah analogi sempurna secara peribadi buat penulis untuk menggambarkan kemegahan sebuah kelab Liga Malaysia yang saban hari menunjukkan kelasnya tersendiri.

Gah di dalam mahupun luar padang – itulah Harimau Selatan yang setiap musim sentiasa tidak kenal erti penat lelah untuk melakarkan sesuatu sejarah dalam bola sepak domestik.

Foto kredit: IG @hrhcrownprinceofjohor

Melihat perkembangan JDT hari ini, penulis seakan-akan melihat mana-mana pasukan yang menentang Harimau Selatan bagaikan ketinggalan ‘0-1’ sebelum sepak mula perlawanan.

Kerana apa? Aura JDT itu sendiri yang menjadikan mengapa kelab yang menjuarai Liga Super sembilan kali berturut-turut sentiasa digeruni pasukan lawan.

Secara peribadi, penulis cukup yakin bahawa revolusi Harimau Selatan itu adalah berpunca daripada Tunku Ismail sejak baginda mula serius untuk mengangkat bola sepak Johor pada 2013.

Ketika itu, ada segelintir yang sangsi malah ada yang ketawa sebaik baginda melancarkan visi dan misi untuk mengangkat darjat JDT.

Foto kredit: JDT

Hari ini, pendekatan ‘less talk more action’ Tunku Ismail bukan sahaja telah berjaya mengubah nasib Harimau Selatan sebaliknya meletakkan kelab gergasi Liga Malaysia itu di dalam peta bola sepak global.

Mungkin ada yang menganggap resepi kejayaan JDT disebabkan kuasa kewangan tetapi penulis dapat menafikan dakwaan itu.

Ini kerana ramai orang lupa dengan kesulitan yang ditempuhi oleh Tunku Ismail ketika baginda menjadi pemilik JDT pada tahun pertama di mana baginda sendiri mengakui juga ada melakukan kesilapan.

Foto kredit: IG @hrhcrownprinceofjohor

Namun apa yang membezakan Tunku Ismail adalah baginda sentiasa belajari tidak mengulangi kesilapan dan sentiasa memastikan JDT bergerak dalam landasan global, bukannya semata-mata mahu menjadi jaguh domestik sahaja.

Suka atau tidak, inilah formula sebenar Tunku Ismail di mana baginda telah memanipulasikan kesulitan atau kesilapan itu bertukar menjadi titik kebangkitan JDT.

Antara strategi Tunku Ismail yang dilihat menjadi faktor terbesar mengapa Harimau Selatan menjadi kelab gergasi Liga Malaysia adalah memberikan keutamaan kepada kemudahan fasiliti.

Mungkin kelab-kelab lain lebih berminat untuk memburu pemain-pemain import berkualiti tetapi baginda memilih haluan berbeza.

Inilah yang membezakan JDT dengan kelab-kelab lain di mana visi dan misi Tunku Ismail sentiasa meletakkan skuad Harimau Selatan dalam kelas tersendiri sebagaimana baginda sentiasa menitikberatkan fasiliti-fasiliti terbaik bertaraf dunia buat barisan pemain dan pegawai.

Tidak dilupakan stadium berkelas dunia, Stadium Sultan Ibrahim yang sentiasa menjadi venue idaman buat kesemua pemain-pemain negara untuk beraksi di sana.

Sekali lagi Tunku Ismail memaksa JDT keluar dari ‘kepompong’ dunia bola sepak Malaysia yang sebelum ini kebanyakan lebih menumpukan baikpulih stadium, padang atau pemburuan pemain import semata-mata.

Hari ini apa sahaja sentuhan Tunku Ismail bersama Harimau Selatan, ia akan bertukar menjadi ‘emas’.

Begitu juga apa yang berlaku ke atas penyerang berbisa, Arif Aiman Hanapi adalah disebabkan Tunku Ismail yang sentiasa berani mengambil risiko untuk mempertaruhkan pemain muda seperti Arif Aiman turun bermain di atas padang.

Ternyata pencaturan genius Tunku Ismail nyata membuahkan hasil tersendiri sebagaimana kelibat Arif Aiman ketika ini seolah-oleh terlalu sukar digugat oleh benteng pertahanan lawan terutama mencipta hatrik paling pantas dalam Liga Malaysia dengan menewaskan Selangor 4-0 dalam aksi separuh akhir Piala FA 2023 baru-baru ini.

“Apapun keputusan hari ini, aku akan bersama-sama kau semua. Itu adalah janji aku,” – laungan semangat Tunku Ismail kepada pemain-pemain di dalam bilik persalinan sebelum sepak mula bertemu Selangor dan tidak pelik mengapa pemain Merah Biru sanggup bermain mati-matian.

Malah, menjadi satu kepuasan baginda selaku pemilik kelab apabila seramai 32,257 hadir di Stadium Sultan Ibrahim sejurus kejayaan melangkah ke pentas final Piala FA 2023 bertemu Kuala Lumpur City nanti.

Sebelum menutup tirai kata, patik ingin mengambil kesempatan untuk merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah ke Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang bakal menyambut Hari Keputeraan Ke-39 pada 30 Jun, Jumaat ini.

Semoga Allah SWT melimpahkan segala kurniaNya dan RahmatNya serta dipanjangkan usia ke atas Tuanku.

Ampun Tuanku.

Akhir kata daripada penulis, Luaskan Kuasamu Johor!