PENGURUS Real Madrid, Carlo Ancelotti menegaskan bahawa Kylian Mbappé tidak terjejas dengan laporan media Sweden yang mendakwa pemain bintang Perancis itu sedang disiasat berhubung tuduhan merogol.

Ancelotti menyatakan bahawa pemain berusia 25 tahun itu tetap fokus kepada permainannya dan tidak dipengaruhi oleh spekulasi yang datang dari luar pasukan.

Laporan dari media Sweden mula tersebar selepas Mbappé melawat Stockholm ketika rehat antarabangsa.

Pemain itu tidak dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan Perancis kerana mengalami kecederaan ringan. Walaupun begitu, media Sweden melaporkan bahawa Mbappé sedang disiasat berkaitan satu kejadian tersebut di sebuah hotel di Stockholm.

Carlo Ancelotti, Pengurus Real Madrid.

Bagaimanapun, pasukan guaman Mbappé pantas menafikan laporan tersebut, menyifatkannya sebagai palsu dan tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak memberi perhatian kepada spekulasi yang datang dari luar pasukan. Pemain tidak terjejas sedikit pun,” kata Ancelotti.

Pihak pendakwa Sweden telah mengeluarkan kenyataan ringkas bahawa satu laporan insiden itu telah dilaporkan kepada polis, namun tiada nama suspek yang dinyatakan.

Kylian Mbappé dilaporkan menjadi subjek siasatan polis Sweden terhadap dakwaan rogol. FOTO:FOX

Walaupun begitu, laporan media tersebut menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai penglibatan Mbappé. Dalam respons kepada tuduhan tersebut, Ancelotti membela hak pemainnya untuk berehat dan melancong semasa waktu rehat antarabangsa.

“Dia mempunyai hari rehat yang telah diprogramkan dan boleh memilih untuk melakukan apa yang dia mahu. Saya sendiri pergi ke London selama dua hari dan tidak perlu meminta kebenaran daripada sesiapa.”

Mbappé mengalami kecederaan di paha kiri pada akhir September lalu, menyebabkan dia terlepas satu perlawanan untuk Madrid. Namun, dia kembali sebagai pemain gantian dalam kekalahan mengejut 1-0 kepada Lille di Liga Juara-Juara.

Selepas itu, Mbappé memulakan perlawanan dalam kemenangan 2-0 ke atas Villarreal di La Liga sebelum kembali berehat semasa jendela perlawanan antarabangsa.

Mbappé kembali menjalani latihan penuh bersama Real Madrid minggu ini dan dijangka bersedia untuk perlawanan seterusnya menentang Celta Vigo pada Sabtu. Ancelotti turut menyatakan bahawa rehat selama 15 hari ini memberi peluang kepada Mbappé untuk meningkatkan tahap kecergasannya.

“Dia gembira dan bersedia untuk kembali beraksi serta menjadi pemain penting bagi pasukan. Rehat ini telah membantu dan kini dia kelihatan sebagai pemain yang lebih baik daripada sebelum ini,” tambah Ancelotti.