PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti kecewa dengan persembahan benteng pertahanannya ketika seri 1-1 di Mallorca dalam aksi pembukaan La Liga.
Ancelotti berkata, pemain-pemainnya hilang fokus selepas mendahului permainan menerusi Rodrygo pada minit ke-13 tetapi dibolosi dengan tandukan Vedat Muriqi di babak kedua.
“Hari ini saya tidak gembira. Saya rasa kami sepatutnya tampil lebih baik. Kami perlu lebih fokus, bekerja sebagai satu pasukan.
“Ia bukan masalah kecergasan, tetapi mental. Saya tidak mahu mencipta alasan. Kami perlu melakukannya dengan lebih baik dan menunjukkan sikap yang betul.
“Banyak yang boleh dipelajari daripada permainan ini, ia perlawanan yang menunjukkan dengan jelas di mana masalah kami,” kata Ancelotti.
Menurutnya, beliau mahu barisan pertahanannya tampil lebih berdisiplin dalam sistem yang meletakkan empat pemain menyerang seperti Kylian Mbappe, Vinicius Jr, Rodrygo dan Jude Bellingham di bahagian depan.
“Kami bermula baik, mendahului permainan dan mempunyai peluang untuk menambah jaringan, tetapi di babak kedua kami hilang keseimbangan.
“Kami mungkin tewas kerana tidak ada keseimbangan. Ia bukan perlawanan yang baik. Kami memberi tumpuan kepada serangan dan keseimbangan di bahagian pertahanan sangat penting.
“Kami bergelut untuk merampas bola, menekan lawan apabila kehilangan bola. Apabila bercakap tentang pertahanan, ia berkenaan komitmen keseluruhan pasukan.
“Keseimbangan hanya akan wujud dengan pemain-pemain memikirkan perkara yang sama. Apabila perlu memenangi bola, kami perlu memikirkannya bersama.
“Ia masalah untuk semua orang, bukan hanya penyerang, pemain tengah atau pertahanan. Ia adalah masalah pasukan yang tidak memahami ini adalah aspek penting perlawanan,” katanya.