PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil tidak mempunyai masalah untuk meletakkan Khuzaimi Piee dalam barisan pemain untuk menentang Negeri Sembilan FC pada Ahad sekiranya pemain pertahanan itu bersedia untuk beraksi.
Sebelum ini, Khuzaimi dikejutkan dengan insiden pecah rumah melibatkan kediamannya yang menyebabkan dia kerugian selepas kehilangan motosikal dan beberapa barangan peribadi termasuk passport antarabangsa.
Bagaimanapun dia dapat dilihat tetap menjalani latihan bersama-sama rakan sepasukan dan Nidzam berkata segala-galanya bergantung pada diri pemain itu sendiri sama ada boleh beraksi atau pun tidak.
“Khuzaimi masih menjalani latihan seperti biasa termasuk semalam meskipun ada kejadian melanda rumahnya. Kami ada berbual dengan dia selama 30 minit dan apa yang kami ambil berat adalah keadaan keluarganya dan situasi yang berlaku di rumah.
“Tetapi segalanya telah diselesaikan dengan bantuan pihak polis dan Jimmy seorang yang profesional dan saya tidak nampak ianya menggangu tugasan dia di padang. Jika dia kata kepada saya dia bersedia, saya akan letakkan dia dalam senarai 20 pemain seperti minggu lalu.
“Ini kerana saya percaya pada dia dan dia juga mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap dirinya sendiri dan saya tidak ada isu tentang perkara ini,” kata Nidzam dalam sesi media di Pusat Latihan SFC di Shah Alam pada Jumaat.
Khuzaimi menjadi pemain keempat menjadi mangsa insiden khianat melibatkan pemain bola sepak negara selepas Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim sejak penghujung April lalu.
Nidzam juga menyatakan keluarga Khuzaimi telah pun ditempatkan di satu tempat yang selamat dan kelab sentiasa berada di belakangnya dengan menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Khuzaimi.