PERBAIKI catatan peribadi dan mendapatkan slot merit ke Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary Ogos depan, menjadi matlamat jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar pada Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Bangkok, Thailand.
Mengakui berat untuk mencapai sasaran itu berikutan beraksi dalam dua acara, iaitu lompat kijang dan lompat jauh, pemenang pingat emas Sukan Sea Kemboja itu berkata, dia akan memberi lebih tumpuan kepada acara kegemaran, lompat kijang.
“Perancangan saya untuk ATF kali ini adalah perbaharui catatan peribadi dalam acara lompat kijang. Tetapi kali ini berbeza kerana saya akan main dua acara dan sedikit mencabar kerana tiga tahun lepas saya hanya sertai acara lompat jauh.
“Melihat kepada jadual pertandingan, saya akan tempuh perlawanan berturut-turut bermula 12 Julai hingga 15 Julai. Kali terakhir saya beraksi dengan dua acara adalah pada temasya Sukan Sea Hanoi,” kata Andre.
Untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia, atlet kelahiran Sabah berusia 24 tahun itu perlu melakukan lompat sejauh 16.6 meter (m) sekiranya ingin melayakkan diri secara merit ke Hungary pada Ogos nanti.
“Kelebihan mungkin pada lompat jauh kerana beraksi agak lewat, tetapi fokus saya ketika ini adalah untuk lakukan terbaik dalam acara lompat kijang dengan mengatasi catatan peribadi saya iaitu 16.51m sewaktu saya lakukan di Sukan Sea Hanoi tahun lalu.
“Saya pernah buat (16.6m) sewaktu Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur tahun lalu tetapi dibatalkan,” kata Andre.
Dalam pada itu, Andre turut mengakui cabaran di Bangkok bukan mudah kerana dia akan berdepan atlet-atlet berpengalaman yang lain.
“Pencabar sudah tentu ramai kerana kita tahu ada atlet berpengalaman seperti dari negara India, China dan juga Iran. Tetapi atlet paling mencuri tumpuan ketika ini ialah dari India. Jadi saya perlu melakukan terbaik di sana nanti,” ujarnya.
Esok Andre akan turun beraksi dalam acara lompat kijang dengan pusingan kelayakan sebelah pagi manakala final, akan berlangsung petang.
Rekod kebangsaan lompat kijang dipegang Muhammad Hakimi Ismail sejauh 16.77m, yang dilakukan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.