DUA kejohanan jemputan Februari ini bakal menjadi penentu nasib dua atlet olahraga negara, Andre Anura Anuar dan Muhammad Irfan Shamsuddin, sama ada layak beraksi di Sukan Olimpik Paris, atau sebaliknya.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard berkata, Kejohanan Jemputan Adelaide pada 10 Februari dan Kejohanan Jemputan Melbourne di Australia pada 15 Februari penting buat kedua-dua atlet acara padang iaitu jaguh lempar cakera dan lompat kijang negara.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM, Robert J Ballard mencongak kejohanan yang boleh membantu Andre Anura Anuar dan Irfan Shamsudin layak ke Paris 2024.

“Dua kejohanan ini menjadi pentas terbaik buat mereka cuba layak beraksi di Olimpik. Kami sangat teruja kerana mereka mendapat jemputan untuk menyertai kedua-dua kejohanan itu yang mana anda perlu berada di tahap tertentu di dunia untuk terpilih.

“Kami berharap mereka berdua dapat melakukan yang terbaik di Australia. Kedua-duanya berada pada prestasi terbaik ketika ini di bawah seliaan jurulatih masing-masing,” katanya.

Tambah Ballard, kedudukan terkini ranking Road To Paris, Irfan dan Andre masih berpeluang ke Olimpik sebelum berakhirnya kejohanan yang menawarkan mata kelayakan pada akhir Jun depan.

Irfan kini berada di kedudukan 53 Road to Paris dalam acara lempar cakera.

“Jika mereka dapat memperbaiki kedudukan ranking, ia dapat memberikan motivasi kepada mereka apabila pulang ke Malaysia untuk menyertai Terbuka Malaysia pula. Mereka perlu pamer prestasi konsisten untuk layak ke Olimpik.

“Irfan ketika ini menduduki ranking ke-53 Road to Paris dan dia perlu menyertai kejohanan yang menawarkan mata kelayakan. Dia perlu berada dalam kedudukan 32 terbaik pada hujung Jun. Manakala Andre pula ketika ini menduduki ranking ke-29 Road To Paris.

Andre Anura berada di kedudukan ke-29 Road to Paris. Atlet berada dalam kelompok 32 teratas Road to Paris layak be Sukan Olimpik 2024.

“Sebab itu kejohanan di Australia amat penting kerana prestij kejohanan sehingga diberi hak untuk kelayakan ke Paris ketika standard kejohanan tinggi di Australia tetapi pencabarnya tidak sesukar seperti di Eropah atau Amerika, jadi mereka berpeluang untuk mengutip mata.

“Kami akan cuba memberi setiap peluang terbaik kepada mereka. Sangat sukar untuk layak ke Olimpik, hanya beberapa (atlet) sahaja yang berpeluang melakukannya, jadi kami mahu memberikan segala peluang sebaik mungkin,” katanya.