PEMAIN skuasy remaja lelaki nombor satu negara, Andrik Lim meraih gelaran Oncocare Remaja Terbuka Singapura, sekali gus menebus kekecewaan apabila sekadar muncul naib juara Remaja Terbuka Kuala Lumpur.
Berdepan pencabar dari Hong Kong, Tse Jat, dalam saingan final Lelaki Bawah 19 tahun (B-19), Andrik yang diletakkan selaku pilihan utama tidak berdepan masalah apabila menang 11-6, 11-9, 11-7 untuk muncul juara di Singapura.
Remaja Terbuka Singapura adalah kejohanan terakhir buat Andrik tahun ini, dan kejohanan remaja terakhir buatnya apabila mencecah usia 20 tahun, tahun hadapan.
“Saya gembira berjaya meraih gelaran pada kejohanan remaja terakhir saya,” katanya.
Terbuka Singapura adalah gelaran kedua buat Andrik sepanjang tahun ini, selepas menjuarai Remaja Terbuka Pulau Pinang.
Selain itu, Andrik turut muncul naib juara Remaja Terbuka Kuala Lumpur, pingat gangsa Kejohanan Remaja Terbuka Asia dan Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia, selain dipilih sebagai Ikon Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).