REKOD dan prestasi semasa tidak menjamin keputusan perlawanan menemukan Kedah Darul Aman (KDA) dan Terengganu FC (TFC) dalam aksi penutup tirai Liga Super, malam esok.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain, sebaliknya menjangkakan tentangan sengit daripada KDA walaupun pasukan lawan itu tumpas empat perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Katanya, TFC harus lebih bersedia dari aspek fizikal dan mental untuk membawa pulang tiga mata sekaligus mara ke pentas Piala AFC buat kali pertama sejak 2012.
“Untuk aksi terakhir ini, sifirnya mudah iaitu menang dan TFC kembali ke saingan Piala AFC musim depan. Itu saja pilihan kami tanpa perlu bergantung keputusan perlawanan lain.
“Rentak lapan kemenangan dibawa TFC tidak memberi sebarang makna untuk perlawanan ini kerana pertemuan dengan KDA di gelanggang mereka sentiasa sukar.
“Malah mereka ada jentera serangan yang baik diketuai Ronald Ngah Wanja dan dibantu Mahmoud Al-Mardi serta Muhammad Fayyadh Zulkifli,” jelasnya kepada FLASH SUKAN pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Nafuzi mengakui keputusan selepas 90 minit malam esok, akan menentukan usaha dan kerja keras skuad Sang Penyu musim ini membuahkan hasil atau sebaliknya.
Katanya, barisan pemain TFC perlu menganggap pertemuan dengan KDA seperti aksi final dalam buruan slot automatik ke peringkat kumpulan Piala AFC musim depan.