FOTO : KDA FC

KEHANGATAN kempen Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 semakin dirasai peminat khususnya buat penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur City FC yang tidak sabar menanti aksi pembukaan.

Kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan mara ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan mencetuskan motivasi kepada kelab melakar perkara yang sama.

Menerusi perkongsian laman rasmi pasukan, Kedah Darul Aman FC, rata-rata penyokong Kedah mahukan kelab kesayangan mereka beraksi lebih cemerlang pentas antarabangsa di Bali, Indonesia apatah lagi membawa imej wakil pasukan dari Malaysia.

Menurut komen Al Riz, format kumpulan kali ini sama seperti kelayakan Piala Asia, sasaran sama Kim Pan-gon iaitu cari minimum tujuh mata.

“Kalau sembilan mata sudah tentu confirm juara kumpulan tapi kalau tujuh mata masih ada peluang yang baik untuk jadi naib juara kumpulan terbaik.

“Ini mentaliti dan target yang pemain perlu tahu. Jika kita boleh samakan situasi Kedah dengan Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2023.

“Perlawanan pertama lawan Bali United ini sama macam Malaysia lawan Turkmenistan, perlu dapat tiga mata.

“Manakala lawan Kaya FC perlu minimum seri dan lawan Visakha FC wajib menang,” ujarnya.

Panglima Berantai Panglima Berantai pula berharap jurulatih, Aidil Sharin Sahak melakukan mentaliti sama apa yang diterapkan Pan-gon dalam tiga perlawanan Harimau Malaya baru-baru ini.

“Bermain stamina tinggi, main laju bola ada kat mana sentiasa rapat dengan pemain lawan.

“Harap coach fitness pun kena bagi player betul-betul fitness padu la. Tengok macam mana skuad Harimau Malaya main, harap pemain kita pun macam tu. Insha Allah boleh pi jauh,” tulisnya.

Sebagai rekod, ini adalah penampilan keempat buat skuad Sang Kenari di pentas Piala AFC selepas turut layak bersaing pada musim 2021 namun saingan bagi kumpulan mereka dibatalkan susulan COVID-19.

KDA FC akan membuat perhitungan bersama juara Piala Copa Paulino Alcantara yang juga juara piala domestik Liga Filipina, Kaya FC Iloilo serta juara Liga 1 Indonesia 2019, Bali United.

Semua perlawanan Kumpulan G akan berlangsung di Stadium Capt I Wayan Dipta, Bali.

 

BALI UNITED FC vs KEDAH DARUL AMAN FC
24 Jun 2022, Jumaat, 9.00 malam
Stadium Capt I Wayan Dipta