Oleh: MOHD FARIQ

SIAPA sangka, pemenang pingat emas angkat berat negara Sukan Komanwel 2022, Mohd Aniq Kasdan dahulunya adalah pemain hoki dan mengambil masa setahun memujuk agar dapat beralih bidang sebelum diizinkan bapanya !

Bukan mudah Aniq untuk mendapatkan kepercayaan ibu dan bapanya dengan penantian panjang itu berbaloi apabila nama negara harum di bumi Birmingham hari ini.

Bapanya, Kasdan Sarudot, 53 ,dan ibunya, Zainab Salani yang tinggal di Kg Paya Besar, Segamat pasti tidak menyesali dan silap percaturan membuat keputusan tepat melepaskan Aniq yang pada masa itu berusia 14 tahun kepada jurulatih Yon Haryono yang bertanggungjawab membentuknya bergelar wira negara.

“Mereka pujuk saya setahun supaya lepaskan Aniq. Memang saya ragu-ragu pada awalnya. Saya tanya Aniq, betul ke nak jadi atlet angkat berat.

Kasdan dan Zainab pada mulanya ragu-ragu dengan kemahuan Aniq.

“Selepas tengok kesungguhan Aniq dan coach Yon yang ikhlas nak bentuk jadi atlet terbaik negara masa depan, sebagai ayah hati saya ‘cair’ dan membenarkannya menukar bidang sukan yang dia minati dan cintai,” ujarnya kepada FLASH SUKAN ketika dihubungi.

Yon yang berasal dari Lampung, Indonesia turut memainkan peranan utama memujuk bapa Aniq yang berkerja di bahagian farmasi Hospital Segamat supaya mengikuti jejak langkah abangnya, Mohd Auff juga atlet angkat berat Sukma Johor.

“Waktu itu, Yon adalah jurulatih Johor angkat berat berpangkalan di Sekolah Menegah Bandar Putra, Segamat

“Tetapi, jodoh abangnya tidak panjang selepas itu apabila tiga tahun lepas terlibat kemalangan motor dan tidak dapat lagi pulih sepenuhnya dan memasuki kategori bagi suka para,” katanya pernah melakukan kerja separuh masa di kedai makan kecilan untuk menampung tujuh orang anak.

Menurut Kasdan, pada penilaian dan naluri Yon, bakat Aniq yang merupakan anak keempat lebih terserlah dalam angkat berat dan bukannya di bidang hoki. Yon juga yakin Aniq boleh menjadi juara dunia satu hari nanti.

Keadaan lantai yang pecah akibat jatuhan besi berat.

Tidak ramai tahu bahawa, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Yon tidak dapat kembali ke Malaysia bagi melatih Aniq.

“Selama hampir setahun setengah juga Aniq menjalani latihan rumah di Segamat melalui ‘video conference’ yang dibuat oleh Yon yang berada di Indonesia.

“Sesi latihan berjalan setiap hari dan sampai pecah lantai simen depan rumah kami akibat jatuhan besi angkat berat,” kongsinya.

Dalam pada itu, Kasdan turut meluahkan terima kasih kepada semua pendidik, guru yang terlibat dengan proses kejayaan anaknya sekarang bermula dengan Sekolah Kebangsaan Kg Paya Besar, Segamat (bermula sebagai pemain hoki).

Selepas memenangi pertandingan tadi Aniq sempat membuat panggilan video kepada ibu dan bapa di tanah air dan memohon restu supaya mendoakannya dan menyokong perjuangan rakan sepasukan di Birmingham.

Aniq bersama kedua ibu bapanya.

Semangat kental pelajar UiTM yang mengambil jurusan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi amat luar biasa serta punyai jati diri yang kuat, dan ianya diakui Kasdan.

Kemenangan sensasi menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia yang diraih Aniq membuatkan ibu bapanya berbangga dan tidak menyangka mampu berada pada tahap tertinggi sekarang.

Mereka terharu dan semua menangis di depan televisyen termasuk penulis !

Syabas Aniq. Anda kebanggaan negara.