BUAT julung kalinya, Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2024 mencatatkan sejarah tersendiri apabila mengkalungkan dua Anugerah Olahragawati selain Anugerah Olahragawan kepada atlet yang berjaya mempamerkan prestasi luar biasa sepanjang musim 2023.

Aleena Ahmad Nawawi dan Nur Ain Nabilah selaku atlet boling padang negara telah dinobatkan sebagai Olahragawati UiTM pada Majlis Anugerah Sukan UiTM yang berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam pada malam Selasa.

Kejayaan mereka dalam meraih pingat emas dalam Kejohanan Dunia Gold Coast, Australia pada September lalu telah memberi kebanggaan kepada pihak universiti kerana berhasil mengharumkan nama mereka di pentas dunia.

Aleena dan Ain Nabilah dinobat sebagai Olahragawati UiTM 2023.

Sementara itu, badang negara Mohamad Aniq Kasdan dinobatkan Anugerah Olahragawan sekaligus mengatasi enam calon atlet lain yang tersenarai.

Aniq kini sedang dalam landasan  terbaik untuk memburu mata bagi melayakkan dirinya ke pentas Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada bulan Ogos depan.

Terbaik…Mohamad Aniq Kasdan dinobatkan Olahragawan UiTM 2023.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang turut hadir ke majlis penganugerahan menyatakan rasa teruja dan bangga atas pencapaian atlet universiti pada musim 2023 dan berterusan hingga ke tahap ini.

UiTM turut menjalinkan MoU bersama Persekutuan Boling Padang dan Persatuan Kriket Malaysia.

Dalam majlis yang sama, UiTM turut Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persekutuan Boling Padang Malaysia dan Persatuan Kriket Malaysia bagi tahun 2024.

Dengan perjanjian persefahaman tersebut, semoga pihak UiTM dapat terus meningkatkan pencapaian sukan negara dan sentiasa meneruskan momentum pencapaian yang cemerlang dalam bidang sukan, khususnya.