KEPUTUSAN jawatankuasa Road to Gold (RTG) menyingkir tiga acara iaitu dua dari badminton dan satu hoki, membuka ruang buat atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan.

Bagai mendapat suntikan semangat baharu dalam misi memburu tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, Aniq kini di landasan terbaik dengan sokongan tidak berbelah bahagi, apabila disenaraikan dalam program RTG.

Pemenang pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu menjadi atlet terkini disenaraikan dalam program selepas menepati kriteria kelayakan untuk memasuki RTG iaitu berada dalam kedudukan 10 terbaik ranking Olimpik.

Kedudukan Aniq Kasdan di tangga 10 kelayakan Olimpik Paris, melayakkannya berada dalam RTG. – Hannah Yeoh

“Aniq kini berada di kedudukan ke-10 dalam ranking Olimpik bagi kategori 61 kilogram (kg) yang juga sebahagian daripada kriteria RTG dan hanya berusia 21 tahun pada masa ini,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas Mesyuarat Jawatankuasa RTG.

“Dengan sokongan yang betul, Aniq mempunyai potensi besar untuk meningkatkan prestasi kerana catatan peribadi terbaiknya iaitu 291kg, hanya kurang 3kg daripada pencapaian pemenang pingat gangsa Olimpik 2020 iaitu 294kg.”

Senarai terkini angkat berat 61kg, mengikut kedudukan kelayakan Olimpik Paris 2024.

September lalu, Aniq mencipta sensasi apabila memenangi pingat gangsa dalam acara clean&jerk bagi kategori 61kg di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi dengan angkatan 166kg.

Atlet berusia 21 tahun itu melakukan angkatan 125kg dalam acara snatch dengan mengumpul angkatan keseluruhan 291kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 61kg.

Untuk rekod, ia adalah kali kedua Aniq memenangi pingat di Kejohanan Dunia selepas meraih perak dalam acara clean & jerk kategori 55kg pada edisi 2021 di Uzbekistan.