MOHAMAD Aniq Kasdan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit selepas menamatkan saingan kejohanan kelayakan Olimpik terakhir di Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand pada kedudukan kelapan.

Meskipun hanya mengumpul angkatan keseluruhan 190 kilogram (kg) iaitu 125kg dalam acara snatch dan 167 acara clean & jerk, pencapaiannya itu sudah cukup mengekalkannya dalam kedudukan Top 10 perlumbaan ke Paris bagi kategori 61kg.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, menerusi satu kenyataan yang diedarkan berkata, Mohamad Aniq berada di tempat kelapan senarai kelayakan ke Olimpik Paris sekali gus layak secara automatik, namun senarai rasmi hanya akan dikeluarkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) dua minggu akan datang.

“Dia telah menyertai dua kejohanan wajib dan tiga kejohanan pilkihan bagi melayakkan diri ke Olimpik Paris kali ini.

“Kejohanan wajib adalah Kejohanan Dunia IWF di Riyadh, 4-17 September tahun lalu dan Piala Dunia IWF di Phuket, 31 Mac-11 April 2024.

“Kejohanan pilihan disertai pula di Kejohanan Asia di Jinju, Korea Selatan (3-13 Mei 2023), Grand Prix 1 IWF di Havana, Cuba (8-18 Jun 2023) dan Grand Prix II IWF di Doha, Qatar (4-14 Disember 2023),” kata Ayub.

Mohamad Aniq menempatkan diri ke dalam kelompok Top 10 dunia dalam kategori 61kg, pada di Doha Disember tahun lalu apabila mengangkat 125kg dalam acara snatch dan 170kg dalam clean & jerk, sekali gus mencipta rekod baharu kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 296kg.

Dia mengatasi rekod lama miliknya sendiri 291kg yang dilakukan di Riyadh, September tahun lalu.

Berikut senarai atlet angkat berat 61kg lelaki yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024

  1. Li Fabin : 314kg (China)
  2. ⁠⁠Morris Hampton Miller: 303 kg (Amerika Syarikat)
  3. Massidda Sergio : 302kg (Itali)
  4. Eko Yuli Irawan : 300kg (Indonesia)
  5. ⁠Ceniza John Febuar : 300kg (Filipina)
  6. Theerapong Silanchai : 299kg (Thailand)
  7. Mishvelidze Shota : 298kg (Georgia)
  8. Mohamad Aniq Kasdan : 296 kg (Malaysia)
  9. Trinh Van Vinh : 294 kg (Vietnam)
  10. Dimov Ivan :293kg (Bulgaria)