ATLET angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan sahut cabaran untuk melakukan angkatan keseluruhan 300 kilogram (kg) sebagaimana ditetapkan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).
Sedar berbaki sebulan sahaja lagi sebelum kejohanan kelayakan bermula di Grand Prix IWF 2 di Qatar, atlet berusia 21 tahun itu mahu mencuba sebaik mungkin untuk melakukan angkatan itu.
“Untuk sasaran 300kg di kejohanan kelayakan, Insya Allah saya akan cuba mencapainya dan akan buat yang terbaik,” kata Aniq yang dimasukkan ke dalam program Road To Gold (RTG), seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan kelmarin, selepas menepati kriteria, menduduki ranking ke-10 dalam kelayakan Olimpik setakat ini.
Semalam, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat meletakkan sasaran supaya pemegang rekod kebangsaan bagi kategori 61kg dengan angkatan keseluruhan 291kg di Kejohanan Dunia 2023 bulan lalu itu, melakukan angkatan keseluruhan 300kg di Grand Prix IWF 2 di Qatar, Disember ini.
Berada dalam program RTG bermaksud Aniq bakal menerima pelbagai bantuan dan sokongan menjelang kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 antaranya elaun RM3,000, perkhidmatan sokongan perubatan dan sains sukan khas dan peralatan latihan khas selain pendedahan latihan dalam dan luar negara.
“Perasaan saya apabila diterima masuk ke program RTG, tentunya gembira kerana itu yang saya sasarkan selepas pulang dari Kejohanan Dunia. Yang saya harapkan ialah kemudahan yang akan diterima dari MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) nanti.
“Bantuan itu lebih memberi sokongan kepada fizikal kerana saya dimaklumkan, akan ada pegawai yang akan berada di tempat latihan selain mengikuti saya ketika menyertai kejohanan nanti,” kata Aniq yang meraih pingat emas ketika Sukan Komanwel Birmingham 2022 dalam kategori 55kg.
Selain di Qatar, kejohanan kelayakan Olimpik turut dijadual berlangsung di kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan pada 3 hingga 10 Februari tahun depan dan di kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand (2-12 April 2024).
ARTIKEL BERKAITAN : Aniq Kasdan dapat suntikan baharu ke Paris 2024