TURKIYE bakal menjadi petunjuk terakhir buat badang negara, Mohamad Aniq Kasdan, untuk melihat sekiranya ada ruang buatnya melakukan kejutan di Sukan Olimpik 2024.

Selain mahu menampilkan prestasi terbaik, Aniq juga mempunyai misi di Paris nanti, apabila mencari segenap ruang untuk menaiki podium.

Mengakui berada pada tahap terbaik dan bebas dari kecederaan, Aniq berharap setiap perancangan yang telah diatur, membawa kepada matlamat akhirnya di Kota Fesyen nanti.

Aniq Kasdan akan berlepas ke Turkiye untuk menjalani latihan fasa akhir sebelum ke Paris.

“Alhamdulilah kebelakangan ini, semuanya berjalan dengan lancar untuk mempersiapkan diri ke Olimpik Paris nanti dan saya akan berlepas ke Turkiye pada 20 Julai, untuk melakukan latihan terakhir di sana.

“Ini adalah Olimpik pertama semestinya saya mahukan keputusan yang terbaik dan akan cuba lakukan sebaik mungkin di sana nanti,” katanya, ketika dihubungi.

Berdasarkan kekuatan atlet angkat berat yang layak ke Temasya Paris, Aniq Kasdan perlu melakukan angkatan melebihi 302kg untuk menaiki podium.

Berdasarkan pencapaian pesaing di Olimpik Tokyo, pada 2020 serta Kejohanan Dunia terakhir di Phuket, Thailand April lalu, Aniq yang berusaia 22 tahun, perlu melakukan angkatan lebih dari 300kg ke atas bagi berpeluang menaiki podium.

Untuk rekod, atlet kelahiran Johor itu memegang rekod kebangsaan kategori bawah 61 kilogram (kg) dengan angkatan 296kg (126kg bagi snatch dan 170kg clean & jerk).

Untuk rekod, kali terakhir angkat berat berada dalam kontinjen negara ke temasya terbesar dunia itu adalah di Olimpik Rio de Janeiro 2016 dalam kategori 69kg menerusi Mohd Hafifi Mansor.