HAMPIR seminggu menjalani latihan di Antalya, Turkiye, badang negara iaitu Mohamad Aniq Kasdan berkongsi perasaan teruja dan menyifatkan dirinya semakin bermotivasi dalam fasa terakhir mempersiapkan diri ke temasya Olimpik Paris nanti.
Kem latihan yang sedang dijalani selama dua minggu sebelum berlepas ke Paris pada 2 Ogos turut dianggap sebagai satu pencetus kekuatan dan aura baharu untuk atlet angkat berat negara itu, oleh kerana suasana yang positif dan sumber makanan yang penuh khasiat.
Faktor-faktor itu dikongsi sendiri oleh Aniq kepada FLASH SUKAN, dan dia mengakui amat gemar akan makanan-makanan di Turkiye yang berprotein tinggi dan bagus buat dirinya sebagai seorang ‘orang besi’.
“Semua masakan dia menggunakan minyak ‘olive’. Jadi itu antara yang menjadikan makanan di Turkiye ini lain daripada lain.
“Tidak kurang itu, semangat juga bertambah ketika mula menjalani latihan di bumi Turkiye ini. Ditambah lagi dengan suasana yang cukup bagus, jadi ia membuktikan negara ini sesuai untuk menjadi ‘persinggahan’ buat atlet.
“Jika diberi peluang lagi, saya mahu berlatih di sini (Turkiye) pada masa akan datang,” ujar Aniq kepada FLASH SUKAN.
Bersulam harapan untuk kembali semula ke bumi Turkiye suatu masa nanti, Aniq juga sedia menempuhi cabaran terbesarnya dalam acara angkat berat yang akan berlangsung di South Paris Arena 6, Paris Expo Centre.
Saingan angkat berat kategori 61 kilogram (kg) yang bermula pada 7 Ogos akan menentukan kekuatan sebenar atlet angkat berat itu, sekali gus berharap dirinya dapat memperolehi pingat emas buat negara.