GEMBIRA akan prestasi dirinya yang berjaya mengakhiri perlumbaan hingga ke garisan penamat, Anis Amira Rosidi sekali gus tidak menyangka bahawa dia mampu merangkul pingat gangsa.
Sudah tentu semalam merupakan satu kegembiraan besar buat skuad berbasikal negara apabila dua pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati mencipta gelaran juara, selain Anis yang meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2024, di New Delhi, India.
Namun, disebalik kemenangan dalam acara keirin semalam, ianya merupakan satu detik paling manis buat pemenang tempat ketiga iaitu Anis Amira sendiri.
Pelumba berusia 26 tahun itu mendedahkan kepada FLASH SUKAN bahawa dirinya beraksi dalam keadaan cedera di bahagian otot kaki, sejurus tidak percaya akan kebangkitannya dalam membawa pulang pingat gangsa ke Malaysia.
“Sebenarnya, sasaran saya hari ini sememangnya untuk pergi ke pusingan akhir, tetapi sangat tidak percaya saya boleh kembalikan pingat gangsa dengan kondisi kecederaan otot yang menimpa.
“Bagi saya, saya hanya berikan segalanya dalam perlumbaan meskipun dalam keadaan sebegini. Saya sangat terharu dengan Izzah juga kerana berjaya memberi pingat emas buat Malaysia.
“Ini bukan satu pengakhiran, namun ini satu permulaan buat saya untuk mengejar kejayaan seterusnya, InsyaAllah. Saya akan fokus dahulu untuk sesi pemulihan selepas ini,” ujar Anis.