PEMEGANG rekod acara pecut 200 meter (m) berbasikal trek, Anis Amira Rosidi mahu melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024.

Prestasi pelumba basikal negara yang berusia 25 tahun itu, mempamerkan prestasi membanggakan sepanjang 2022, apabila mencipta sensasi memecah rekod kebangsaan acara terbabit, di pusingan kelayakan Piala Presiden PKBM awal bulan ini.

Pelumba berasal dari Perlis itu, mencatat rekod baharu 11.094 saat (s) sekali gus memadam rekod lama milik Fatehah Mustapa 11.108s yang dilakukan di Kejohanan Dunia, Perancis, pada 2015.

Anis Amira (Kanan) bersama Fatehah Mustapa (Kiri) dan jurulatih, John Beasley (tengah). Foto: FB Anis

“Saya gembira menamatkan tahun 2022 dengan memecah rekod kebangsaan, sudah lama saya impikannya. Ketika itu, saya tidak fikirkan sangat mengenai rekod kerana baru pulih dari demam.

“Jadi, saya mahu teruskan momentum ini dengan dengan prestasi lebih baik tahun hadapan. Banyak kejohanan pada 2023 dan saya mesti bersedia bersaing,” katanya, ketika ditemui FLASH SUKAN.

Pada Ogos lalu, Anis turut memenangi pingat emas acara pecut dan gangsa keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Piala Asia 1, di Thailand.

Antara aksi Anis Amira di kejohanan antarabangsa. Foto:  FB Anis Amira

Menurutnya, dia memerlukan lebih banyak kejohanan untuk meningkatkan kemahirannya dari segi taktikal.

“Ya, saya kekurangan pengalaman dalam kejohanan yang membataskan kemahiran saya terutamanya dari segi taktikal ketika perlumbaan.

“Kejohanan pertama saya tahun hadapan adalah Nations Cup di Jakarta, Indonesia dan saya akan fokus kepada arahan jurulatih. Paling penting, saya mengekalkan catatan masa yang sudah saya lakar dan saya tidak mahu berkayuh lebih perlahan,” kata Anis lagi.

Perlumbaan Nations Cup UCI di Jakarta akan berlangsung 23 hingag 26 Februari tahun hadapan, diikuti pusingan kedua di Kaherah, Mesir (14-17 Mac) dan pusingan ketiga di Milton, Kanada (20-23 Mac).