JUARA bertahan, Anson Yeoh Boon Xiang mengesahkan mempertahankan kejuaraan Kejohanan Golf Amatur Terbuka Perak yang bermula pada 3 sehingga 5 Disember depan.
Presiden Persatuan Golf Negeri Perak, Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata, penyandang dari Sarawak itu dijangka kembali mempertahankan kejuaraan kategori lelaki edisi ke-65.
“Selain Anson, Ng Jin Xuan turut mengesahkan penyertaan mempertahankan kejuaraan kategori wanita yang diraihnya tahun lalu.
“Kehadiran semula penyandang juara kategori lelaki dan wanita ini secara tidak langsung menjadikan edisi kali ini lebih sengit dan mencabar mental serta fizikal para pemain,” katanya.
Edisi ke-64 pada Ogos 2022, menyaksikan Anson, dari Kuching mengungguli kategori lelaki mengatasi pencabar terdekat Malcolm Ting Siong Hung manakala Jin Xuan dari Wilayah Persekutuan mengatasi Mirabel Ting.
Mohamad Azlin berkata, kejohanan itu bertujuan mempromosi subsektor pelancongan sukan dan rekreasi sempena Tahun Melawat Perak 2024 itu mendapat sokongan Kerajaan Negeri Perak.
Juara kejuaraan kali ini akan membawa pulang hadiah RM3,500 bagi kategori lelaki manakala RM2,500 menanti kategori wanita.