PERTAHANAN kebangsaan, Ahmad Khuzaimi Piee gembira dengan perkembangan semasa yang berlaku dalam skuad kebangsaan kerana lebih banyak pemain dapat dipilih oleh Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon menjelang Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Khuzaimi atau mesra dipanggil Jimmy itu turut merasakan dia tidak mempunyai masalah untuk bermain dengan sesiapa pun di posisi pertahanan tengah kerana sudah mengenali majoriti pemain dalam skuad Harimau Malaya.
“Untuk perlawanan esok ianya pastinya satu perlawanan yang sukar. Kami berharap dapat menterjemahkan apa yang dikehendaki oleh jurulatih dan juga mahukan siapa pun yang diturunkan untuk memberikan persembahan yang terbaik.
“Setakat ini tanpa kehadiran Dion Cools, kita dapat pasangan pertahanan tengah yang baru dalam setiap perlawanan. Bagi saya ini tidak menjadi masalah kerana kami sudah mengenali satu sama lain.
“Kami juga tidak memerlukan masa yang lama untuk membentuk keserasian dalam padang dan saya percaya dengan semua pemain yang kami mampu beri komitmen terbaik sebagai satu pasukan,” katanya ketika sidang media pra perlawanan.
Dia juga turut berharap agar siapa pun yang diturunkan pada aksi menentang Maldives esok akan memberikan aksi terbaik dan tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan.
“Bagi perlawanan menentang Maldives ini, kami tidak boleh mengambil sikap sambil lewa kerana dalam bola sepak apa pun boleh terjadi dan berharap semua dapat beri lebih daripada 100 peratus ketika beraksi,” tambahnya.
Malaysia berpeluang menambah lagi mata ranking jika berjaya menewaskan Maldives sekaligus mengekalkan rekod kemenangan selepas berjaya membenam Kemboja 4-0 dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Jumaat lalu.