PENGENDALI Maldives, Francesco Moriera menganggap perlawanan menentang Harimau Malaya esok adalah perlawanan yang penting untuk menguji pasukan dan tidak fokus kepada keputusan perlawanan.
Dia juga melihat pasukan Malaysia yang berada di ranking 146 dunia kini semakin kuat dengan barisan pemain yang baik dan ini akan memberikan ujian yang baik buat pasukan Maldives.
“Saya melihat pasukan Malaysia kini semakin kuat dengan pemain yang bagus. Bagi kami perlawanan esok akan menjadi ujian yang penting buat pasukan kami kerana kami juga adalah pasukan yang baik.
“Kami juga tidak memikirkan tentang keputusan perlawanan esok sebaliknya saya mahukan para pemain saya bermain bola sepak secara positif dengan lebih teratur dan mengamalkan intensiti yang tinggi.
“Ini kerana liga di Maldives hanya akan bermula pada Mac dan perlawanan kompetitif terakhir kami adalah pada September lalu oleh itu perlawanan esok adalah untuk melihat kemampuan barisan pemain kami,” katanya ketika sidang media sebelum perlawanan.
Kenyataan jurulatih ini juga disokong oleh pemain pertahanan, Samooh Ali yang menyatakan barisan Malaysia kini lebih pantas jika dibandingkan dengan skuad terdahulu yang dihadapinya.
“Bola sepak Malaysia kini sudah berubah. Mereka lebih pantas, kuat dan bermain dengan intensiti yang tinggi namun kami akan lakukan yang terbaik untuk mencapai keputusan yang positif esok,” katanya dalam sidang media yang sama.
Meskipun mempunyai ranking yang lebih baik berbanding Malaysia namun ia tidak menjamin kemenangan mudah buat Maldives yang berkedudukan ranking 154 dunia kerana Malaysia mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri.