KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) terpilih menyertai Persatuan Pengurusan Venue Asia-Pasifik (VMA) boleh dianggap sebagai satu pencapaian membanggakan buat kelab dan juga buat negara.
VMA adalah badan untuk venue industri profesional di Australia, New Zealand dan Asia dengan lebih 900 keahlian, mewakili lebih 300 venue utama dari pelbagai sektor termasuk venue sukan dan bukan sukan.
Stadium Sultan Ibrahim telah dijemput untuk menjadi wakil Malaysia pertama ke Persatuan Pengurusan Venue selepas menarik perhatian pemerhati dengan pengurusan profesional, pemeliharaan dan reputasi stadium itu sendiri.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman sosial rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, Stadium Sultan Ibrahim juga telah dijemput untuk menjadi sebahagian daripada Asia-Pacific Venue Industry Congress ke-30 yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Mei di Melbourne, Australia.
Selain menjadi indikator kepada pengiktirafan berterusan kepada stadium itu sejak dibuka pada Februari 2020, banyak perkara boleh dipelajari oleh JDT dan SSI apabila mereka menyertai kongres itu dan bakal menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang terbaik yang ada di Malaysia.
Antara topik yang akan dibincangkan oleh lebih 50 orang panelis di kongres tahunan itu adalah berkaitan pengurusan stadium dan acara besar, sistem tiket dan komersil stadium, pengalaman kehadiran penyokong, penambahbaikan kompleks sukan, teknologi terkini dalam sukan, katering dan cenderahati stadium serta keselamatan stadium dan pengunjung oleh pakar-pakar pengurusan venue dari Australia dan New Zealand.
Australia dan Melbourne terutamanya sememangnya terkenal dengan venue sukan antarabangsa apabila sering menganjurkan kejohanan sukan seperti Sukan Komanwel 2006, Tenis Terbuka Australia, Grand Prix F1 Australia, Kriket T20 dan ODI selain pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1956.
Pengalaman ini bakal dikongsi dan dipelajari oleh pengurusan Stadium Sultan Ibrahim dalam menjadikan kandang Harimau Selatan itu lebih baik dan akan menjadi penanda aras dalam pengurusan venue dan pengalaman penyokong.
Dengan penyertaan ini juga, para penyokong boleh menjangkakan pengalaman penyokong yang lebih baik selepas ini di Stadium Sultan Ibrahim dan ianya juga boleh memberi faedah kepada negara terutama dalam menganjurkan kejohanan sukan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.