SUKAN Olimpik sentiasa menjadi pentas yang diidamkan atlet namun tidak semuanya berpeluang ke temasya itu.

Bukan hanya sukar untuk melepasi had atau mengumpul mata kelayakan, malah banyak lagi acara sukan yang tidak dimasukkan ke dalam program Olimpik.

Bagi sukan tertentu pula, sudah pasti ada negara kuasa besar yang memonopolinya dan peluang beraksi mengikut kuota negara anggota, amat dihargai dan peluang itu tidak dapat dirasakan atlet ketiga atau keempat terbaik daripada negara kuasa sukan tertentu.

Begitulah situasi yang dihadapi pemain badminton dunia, apabila hanya dua atau tiga pemain sahaja yang boleh beraksi di pentas Olimpik, berbanding peluang menerusi kuota negara.

Gabriela Stoeva (kiri) adalah penari sebelum bermain badminton mewakili Bulgaria berpasangan dengan adiknya, Stefani.

Namun bagi pemain badminton yang hadir bukan sebagai pilihan sekali pun, mereka memiliki keterujaan yang ingin dinikmati sepanjang berada di Kota Paris kali ini.

Kita Gabriela Stoeva, dia berpasangan adiknya Stefani Stoeva ketika mewakili Bulgaria hanya satu kebetulan.

“Saya adalah seorang penari, kebetulan saya bersama ibu menuju ke dewan badminton untuk mengambil adik (Stefani) dan waktu itu, jurulatih bertanya pada saya, awak bila nak main badminton?

“Saya spontan membalas, sukan apakah itu? Tetapi lihatlah di mana saya berada hari ini, jadi jangan pernah katakan tidak,” kata Gabriela kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Walau bergelar Juara Dunia 2023, Kang Min Hyuk (kiri) tetap gugup apabila beraksi kali pertama di Sukan Olimpik Paris, namun ditenangkan Seo Seung Jae.

Perseorangan lelaki Jepun, Kodai Naraoka yang beraksi kali pertama di Temasya Olimpik pula mengakui, bagaikan mimpi menjadi nyata, namun tekanannya amat tinggi.

“Saya sangat gementar sehingga tidak tahu apa yang perlu saya buat di gelanggang.

“Belum pernah saya rasakan sebegini, apatah lagi tangan saya menggeletar sejak pagi. Tetapi saya jumpa emak dan ayah saya di stadium, saya nampak emak saya makan roti nampak sedap, saya cubit sedikit tetapi saya masih menggeletar,” kata Naraoka.

Juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk juga tidak terlepas dari rasa cuak.

“Sebenarnya saya gementar gila tetapi mujur ada Seo (Seung Jae) bantu saya atasi tekanan pada penampilan pertama di Sukan Olimpik. Dia percayakan saya, jadi saya boleh ketepikan tekanan ini,” kata Min Hyuk.