ENTAH apa yang menimpa skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC sehingga terkeluar daripada kelab yang boleh menyaingi puncak Liga Super dan kini tiba-tiba sahaja berada dalam kelompok pertengahan pasukan bertanding musim ini.
Kemerosotan dengan pelbagai siri kekalahan tidak mencerminkan perwatakan sebenar Sang Kenari yang mula lesu dan seolah-olah patah sayap untuk kembali terbang tinggi.
Ramai tidak menyangka, cemerlang di pentas Piala AFC 2022 sehingga layak ke suku akhir Zon ASEAN, namun longlai di saingan domestik termasuk dibenam Terengganu FC sebanyak dua kali berturut-turut serta tersingkir kejohanan Piala FA.
Bagaikan ada yang tidak kena prestasi pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak kali ini, berbanding tahun lepas yang kelihatan garang dan mematuk sesiapa sahaja lawan yang ditemui di depan mata.
Bagaimanapun, peminat sejati negeri terkenal dengan imej jelapang padi tetap meyakini perjuangan KDA FC agar dapat bangkit semula gagah memburu kemenangan.
Melayan kunjungan Sarawak United FC di Alor Setar malam ini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin para pemain bagi mencari sekurang-kurangnya kedudukan terbaik di akhir kempen.
Salah seorang peminat tegar Hijau Kuning, Azim Ahmad, 37 ketika dihubungi FLASH SUKAN mengakui senario pasukan kesayangannya yang tidak lagi mengembangkan kepaknya hingga ada ketika boleh tumpas mudah tanpa menghadirkan cabaran kepada pihak lawan.
“Rasanya dah banyak permainan Kedah tidak dapat mengumpul mata. Kita melepaskan mata penting dan pada akhirnya berada di kedudukan semasa (tangga ke-7).
“Siapa yang tak sayangkan pasukan, kecewa pun adalah tengok aksi depa bermain. Tapi sebagai penyokong sejati kami tidak pernah jemu-jemu memberi sokongan kepada pasukan Kedah. Ada masa kalah, ada masa menang.
“Coach Aidil tiada pilihan kecuali harus memastikan mesti wajib menang dengan pasukan Sarawak United supaya dapat menaikkan semangat pemain yang mula menurun,” katanya optimis Stadium Darul Aman akan menyaksikan kebangkitan semula Kedah.
Mengulas mengenai prestasi Sanrawat Dechmitr dan Mahmoud Al-Mardi, Azim memberitahu nampak kesungguhan mereka menguasai bola dan membantu rakan sepasukan bagi mendapatkan jaringan.
“Biasalah, bola itu kan bulat. Kemasukan pemain import ini agak memberi impak khusus dalam corak serangan.
“Tapi pemain lain kena bantu sama mencipta peluang dan menghasilkan gol,” katanya.
⚔️HARI PERLAWANAN!
🏆 Liga Super 2022
🆚 Kedah Darul Aman FC lwn Sarawak United FC
📆 19 Julai 2022, Selasa
🕖 9.00 pm
🏟️ Stadium Darul Aman