APA sudah jadi dengan jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia apabila sekali lagi dimalukan pada saingan Terbuka Jepun 2022 dengan kekalahan straight set 22-20 23-21 seawal pusingan kedua kepada pemain India, Srikanth Kidambi.
Sebelum ini, pemain yang menjadi sandaran pingat emas di Kejohanan Badminton Dunia (BWF) itu turut tersingkir kepada pemain kurang ternama dari China, Zhao Jun Peng seawal pusingan ketiga.
Kini, skrip sama berulang apabila dia ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua kepada pemain yang sepatutnya boleh ditewaskan, namun sebaliknya yang berlaku.
Mengambil kira prestasi semasa, Zii Jia jelas begitu longlai apabila seringkali melakukan kesilapan mudah dan lawan seakan sudah memahami gerak geri bintang harapan negara itu.
Persoalan kini timbul apabila rata-rata peminat kembali mengkritik kewajarannya menarik diri dalam aksi Sukan Komanwel Birmingham 2022 kerana masih beraksi pada tahap kurang memuaskan.
Dalam perkembangan lain, aksi beregu campuran menyaksikan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing cemerlang menewaskan gandingan rakan senegara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See 21-10 21-14.