KEMPEN Eropah beregu lelaki Nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus berada pada tahap yang buruk, malah keputusan yang dipamer tidak setaraf reputasi mereka sebagai juara dunia.

Malah perkembangan terkini, mereka tewas di pusingan kedua Terbuka Switzerland, meneruskan rentetan aksi hambar di Seluruh England dan Terbuka Jerman.

Pada perlawanan itu, Aaron-Wooi Yik terpaksa ‘menggigit jari’ apabila akur dengan kekalahan tiga set 21-17, 16-21, 17-21 kepada gandingan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito.

Keputusan itu juga menyaksikan beregu negara mengalami kekalahan kedua kepada beregu gandingan Jepun yang menghuni ranking ke-25 dunia terbabit musim ini, selepas tewas pada pusingan kedua Terbuka Jerman dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Aaron mengambil pendekatan untuk mengunci mulut berhubung kekalahan terbaharu itu, sebaliknya dia mahu membuktikan kemampuan dengan menampilkan aksi terbaik pada kejohanan akan datang.

Aaron dan pasangannya Wooi Yik hanya mahu fokus kejohanan akan datang.

“Sebenarnya, bagi saya tidak ada apa-apa yang mahu diulas kerana apabila bercakap selepas kalah seperti ini, seolah-olah macam berikan alasan. Apabila kalah, cakap apa-apa pun salah.

“Apa yang perlu saya dan Wooi Yik lakukan adalah cuba untuk pamer kebangkitan serta kembali mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan, itu paling penting,” katanya.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan mudah menewaskan beregu tuan rumah, Arthur Boudier-Minh Quang Pham menerusi aksi straight set 21-10, 21-10 di pusingan pertama Rabu lalu.

Pada Seluruh England minggu lalu, Aaron-Wooi Yik tersingkir di pusingan pertama, pada kejohanan yang mereka meletakkan sasaran dan fokus sebenar.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik masih belum merangkul sebarang gelaran kejohanan terbuka, malah pencapaian pencapaian terbaik mereka tahun ini adalah muncul naib juara pada kejohanan Terbuka India Januari lalu.