MELEPASKAN gol ketika Sang Badak sedang mendahului, meletakkan bekas penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat agak tertekan ketika pasukan itu memburu tiga mata penuh di laman sendiri, malam tadi.

Kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC itu menyaksikan Sabah meraih kemenangan keenam Liga Super musim ini, namun pemain berdepan situasi genting selepas jaringan penyamaan Faisal Halim pada minit ke-52 perlawanan terbabit.

“Saya agak frust, tak kisah gol itu terhasil selepas mengena apa sekalipun, tetapi bolos dan sebagai penjaga gol apabila kita melepaskan jaringan apa lagi dalam situasi begitu, saya tertekan,” kata Khairul Fahmi yang lebih selesa dengan panggilan Apek.

Gergasi Merah memperoleh gol penyamaan itu selepas ketinggalan sejak minit ke-24 perlawanan menerusi jaringan Saddil Ramdani, yang menyempurnakan sepakan penalti selepas kapten mereka, Baddrol Bakhtiar dijatuhkan pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab.

Jaringan Faisal itu hadir apabila rembatan derasnya menggegar palang dan bola melantun terkena belakang badan Khairul Fahmi sebelum menerjah jaring.

Sebaik terikat 1-1, tempo perlawanan kembali meningkat dan penjaga gol itu berkata: “Rakan sepasukan banyak membantu saya untuk kembali yakin, dan dari situlah datangnya keyakinan kami untuk memenangi perlawanan.”

Kemenangan ke atas Selangor itu membolehkan Sabah mendaki satu tangga ke kedudukan ketiga Liga Super di belakang Selangor yang kini hanya dibezakan dengan dua mata selepas 10 perlawanan.

Sementara Johor Darul Ta’azim masih kekal pendahulu dengan 27 mata hasil daripada sembilan perlawanan.