ARAB Saudi bukanlah nama asing dalam Formula 1 apabila bakal menganjurkan Grand Prix Arab Saudi keempat hujung minggu ini di Litar Jalanan Corniche Jeddah, sejak dimasukkan dalam kalendar perlumbaan pada 2021.

Namun kini, negara Timur Tengah itu mengumumkan pembinaan litar baharu di Qiddiyah yang bakal memberikan lembaran baharu dalam perlumbaan terutama Formula 1.

Dengan pelbagai ciri pertama di dunia bakal diperlihatkan termasuk selekoh pertama yang mendaki menyamai ketinggian bangunan 20 tingkat, laluan lurus bersebelahan permainan ‘rollercoaster‘ serta akan mempunyai satu seksyen trek yang boleh menjadi litar terpanjang dunia.

Gambaran artis Litar Qiddiyah.

Litar yang akan dibina di luar ibu negara, Riyadh itu akan direka oleh bekas pelumba Formula 1, Alexander Wurz sambil dibantu pereka trek terkemuka dunia, Hermann Tilke.

Bukan hanya membina litar, pemaju di belakang projek ini juga akan membangunkan bandar baharu yang digabungkan dengan presint hiburan yang mengelilingi kawasan sekitarnya.

Venue ini mensasarkan untuk menganjurkan pelbagai acara tertinggi perlumbaan bermotor pada masa hadapan dengan Pengarah Urusan Qiddiya Investment Company, Abdullah Aldawood berkata projek ini akan menjadikan bandar Qiddiya sebagai pusat permotoran global.

Lokasi litar di tengah bandar Qiddiyah.

“Litar ini akan bersedia untuk menganjurkan acara permotoran hebat di dunia yang akan menarik minat banyak peminat. Selain perlumbaan, litar ini terletak di kaki Gunung Tuwaiq yang megah serta dikelilingi pelbagai aktiviti pantas, pengalaman dan acara yang akan memberikan lebih dari sebuah perlumbaan,” jelasnya.

Rekaan litar ini akan menggabungkan kedua-dua jenis litar, bahagian jalan raya yang menelusuri bandar moden dan kontemporari serta bahagian yang dibina khusus untuk kelajuan melalui kawasan hiburan, hospitaliti dan rekreasi termasuk taman tema air.

Selain itu litar ini akan memaparkan selekoh ‘The Blade’, selekoh pantas yang akan menyaksikan perubahan ketinggian sehingga 108 meter yang bersamaan dengan bangunan 20 tingkat.

Gambaran masa depan Grand Prix Arab Saudi

Keseluruhan projek dijangka selesai menjelang tahun 2027 di mana kontrak Litar Jalanan Corniche, Jeddah akan tamat dan Qiddiya City dijangka mengambil alih tugasan sebagai hos Grand Prix Arab Saudi.