IMPIAN skuad ragbi 15 sebelah (15s) negara untuk melakar kemenangan pertama ke atas Korea Selatan pada aksi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 sekali lagi tidak kesampaian apabila tumbang 5-55 di Stadium Namdong, Incheon pada Ahad.

Dengan kekalahan yang membuktikan Malaysia terus menjadi pasukan belasahan di ARC, ketua jurulatih iaitu Mohd Farid Syazwan Abu Bakar memastikan pasukan Bunga Raya akan memperkemas dan memperbaiki kekurangan, menjelang dua baki perlawanan akan datang.

Mohd Farid turut meluahkan bahawa momentum pasukan seakan-akan terus menurun setelah mendapat dua kad kuning pada separuh masa pertama perlawanan.

“Kita agak bergelut ketika separuh masa pertama, dua kad kuning yang dikenakan telah buat momentum pasukan terus merundum.

Malaysia tewas 5-55 dengan Korea Selatan.

“Walau apapun, kita akan cuba lakukan yang terbaik dan bangkit semula untuk perlawanan seterusnya. Banyak lagi kesilapan yang perlu dibaiki sebelum bertemu Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Hari ini memang bukan keputusan yang diharapkan, tetapi barisan jurulatih akan cuba mengekalkan motivasi kepada pemain dan kita akan habiskan dua baki perlawanan ini dengan sehabis baik,” ujarnya pada Ahad.

Perlawanan antara Malaysia dan Korea Selatan pada 2 petang tadi (Ahad) telah disaksikan sendiri oleh wakil Malaysia di Incheon, iaitu Datuk Mohd Zamruni bin Khalid selaku Duta Besar Malaysia di Korea Selatan.

Skuad ragbi 15s negara mempunyai dua lagi pertarungan iaitu menentang Hong Kong dan UAE. Misi penting untuk mereka mendapatkan satu kemenangan dalam dua baki perlawanan ini, demi mencapai sasaran utama dan menebus maruah pasukan negara.