GELANGGANG badminton di Sukan Olimpik Paris Julai depan, Arena Porte de la Chapelle disifatkan sebagai antara venue terbaik bagi sukan itu.

Gelanggang terbabit mula pemain badminton utama dunia bermula semalam, ketika kota Paris mengalu-alukan kehadiran pemain bertaraf bintang di saingan Terbuka Perancis.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, yang juga juara Olimpik Atlanta 1996 berkata, segala kemudahan yang terdapat di gelanggang berkenaan sememangnya berkelas dunia.

Arena Porte de la Chapelle, sebuah dewan serbaguna dibina untuk tujuan penganjuran acara badminton di Sukan Olimpik Paris, Julai hingga Ogos depan.

“Dewan yang digunakan untuk Olimpik ini cukup bagus, tidak banyak corak angin dan keadaan gelanggang juga bagus.

“Cuma, ada sedikit (masalah) pencahayaan lampu yang tidak sesuai di tengah gelangggang dan BWF (Persekutuan Badminton Dunia) pun menyedarinya dan akan cuba untuk mengatasi masalah ini.

“Untuk Terbuka Perancis kali ini empat gelanggang digunakan tetapi untuk Olimpik nanti, BWF maklumkan hanya akan guna tiga. Secara keseluruhannya, semua cukup baik,” kata Rexy, yang mengiringi pemain ke kejohanan itu.

Justeru, jurulatih berasal dari Indonesia itu berharap pemain negara menggunakan peluang yang ada sebaiknya bagi menyesuaikan diri lebih awal dengan keadaan gelanggang sebelum Olimpik Paris bermula.

Kejohanan Badminton Terbuka Perancis yang sedang berlangsung, diawalkan berbanding jadual biasa kalendar BWF (Oktober), bagi membolehkan Arena Porte de la Chapelle diuji sebelum Temasya Paris bermula.

Kejohanan bertaraf Super 750 itu buat julung kalinya berlangsung di Arena Porte de la Chapelle yang dibuka awal bulan lalu.

Arena Porte de la Chapelle adalah dewan serbaguna yang dibina dengan kos 125 juta euro (RM641.50 juta) engan kapasiti 8,000 tempat duduk bagi penganjuran acara sukan manakala 9,000 untuk tujuan konsert.

Saingan Terbuka Perancis tahun ini diawalkan berbanding kebiasaannya yang berlangsung pada Oktober, bagi membolehkan penganjur menguji gelanggang sebelum Olimpik Paris membuka tirai dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.