ARGENTINA terus mencetuskan sensasi selepas membenam cabaran Croatia 3-0 di peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022. Gol Lionel Messi dan Julian Alvarez menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
Kemenangan itu membawa Argentina ke final bertemu Magribi atau Perancis di Stadium Lusail Ahad malam ini.
Croatia mendapat peluang pertama pada minit ke-16. Menerusi situasi sepakan sudut, Dejan Lovren memenangi perebutan udara dan menanduk bola, namun arahnya jauh dari gawang Argentina.
Percubaan pertama Argentina hadir pada minit ke-25. Enzo Fernandez melepaskan rembatan jarak jauh, tetapi bola berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic.
Menerusi serangan pantas pada minit ke-31, Ivan Perisic yang menerima bola di sebelah kiri bergerak ke dalam kotak penalti Argentina dan kemudian melepaskan rembatan lob, namun sasarannya melepasi gawang Emiliano Martinez.
Argentina mendapat penalti seminit kemudian. Julian Alvarez, yang menyambut bola hantaran dari tengah padang, terjatuh di dalam kotak penalti selepas bertembung dengan Livakovic. Pengadil Daniel Orsato tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti.
Lionel Messi melangkah ke hadapan sebagai penendang. Rembatannya ke penjuru kanan atas gol gagal ditepis Livakovic, walaupun dapat meneka arah bola. Argentina mendahului 1-0.
Gol tambahan menentang Croatia bermakna bintang Paris Saint-Germain itu telah menjaringkan 11 gol dalam Piala Dunia. Rekod 11 gol itu menjadikan Messi secara rasmi mengatasi Gabriel Batistuta sebagai penjaring terbanyak Argentina dalam Piala Dunia.
Batistuta sebelum ini memegang rekod dengan menjaringkan 10 gol dalam tiga penampilan di Piala Dunia iaitu pada 1994, 1998 dan 2002.
SEPARUH AKHIR PIALA DUNIA 2022
FT :
ARGENTINA 3-0 CROATIA
⚽️ Lionel Messi (P) 34', Julian Alvarez 39', 69'** Argentina mara ke final#PialaDunia2022 #Qatar2022 #WorldCup2022 #FIFA2022 pic.twitter.com/XUbiDIRUEp
— Flash Sukan (@FlashSukan) December 13, 2022
ARTIKEL BERKAITAN : Messi pegang rekod gol terbanyak Argentina di Piala Dunia
Skuad Tango menambah kelebihan pada minit ke-39. Menerusi serangan balas, Julian Alvarez menggelecek bola dari tengah padang ke arah kotak penalti Croatia. Josip Juranovic dan Borna Sosa masing-masing cuba menggagalkan serangan, tetapi gagal.
Alvarez masih berjaya mengawal bola yang telah menyentuh dua pemain pertahanan, kemudian berjaya menewaskan Livakovic dalam situasi satu lawan satu. Kedudukan menjadi 2-0 !
Argentina hampir menjaringkan gol ketiga pada minit ke-42 apabila Alexis MacAllister menanduk sepakan sudut Messi tetapi kali ini Livakovic menyelamatkannya.
Vatreni tampak bergelut untuk mencari gol pada separuh masa kedua bagi mengurangkan defisit. Beberapa hantaran silang dibuat, tetapi pemain Argentina berjaya mengekang.
Perjuangan finalis edisi 2018 itu seakan berakhir apabila Alvarez yang bermain untuk kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City menyumbat gol ketiga m-69 untuk kejayaan manis mara ke pentas akhir di Qatar.
Untuk rekod, Argentina tidak pernah gagal ke final jika setiap kali bermain di fasa separuh akhir.
Argentina: Emiliano Martinez, Nahuel Molina, Cristian Romero, Nicolas Otamendi, Nicolas Tagliafico, Enzo Fernandez, Leandro Paredes, Alexis MacAllister, Rodrigo De Paul, Lionel Messi, Julian Alvarez.
Croatia: Dominik Livakovic, Borna Sosa, Josko Gvardiol, Dejan Lovren, Josip Juranovic, Mateo Kovacic, Marcelo Brozovic, Luka Modric, Ivan Perisic, Andrej Kramaric, Mario Pasalic.