ATLET karate negara, Arif Afifuddin Ab Malik mengakui bahawa belajar sambil menggalas tanggungjawab sebagai seorang atlet sememangnya tidak mudah untuk dilalui.

Arif yang merupakan alumni dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sukan.

Menurutnya, satu kelebihan yang diperoleh adalah mendapat seorang jurulatih yang memahami tugasan hakikinya sebagai seorang pelajar dan membantu untuk mengubah jadual latihan supaya menjadi lebih fleksibel.

“Jurulatih banyak membantu saya dari segi fleksibiliti dalam penjadualan, malah banyak dari segi teknik dan benda-benda kecil yang saya tidak nampak, dia akan ajar dan tunjuk.

“Beliau juga banyak menerapkan beberapa perkara atau ilmu seperti – harus lebih banyak kacau pihak lawan, kena banyak lakukan persediaan sebelum pergi dan jangan terus lakukan serangan,” ujarnya dalam sesi khas Sembang Sukan Siri 35 oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Jurulatih yang dimaksudkan ialah Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy dari Mesir yang sudah dilantik untuk memperkuat skuad karate negara sejak Januari 2023.

Sentuhan Tamer itu akhirnya berjaya menghadiahkan Malaysia satu pingat emas melalui Arif sendiri dalam acara kumite lelaki bawah 85 kilogram pada Sukan Asia Hangzhou di China, tahun lalu.

Sementara itu, Arif yang kini berusia 25 tahun sempat berkongsi impiannya untuk membawa pulang pingat dalam Kejohanan Dunia Karate yang akan membuka tirai kembali pada tahun 2025.

“Sebelum ini, sudah dua kali saya masuk kejohanan tersebut tetapi tidak lepas untuk ke peringkat separuh akhir mahupun final.

“Jadi, paling tidak pun saya mahu buktikan kali ini saya dapat meraih pingat untuk tahun 2025 nanti,” katanya.