WALAUPUN bermula sebagai pemain gantian, Arif Aiman Hanapi tetap berjaya meledak empat jaringan bersama skuad Harimau Malaya membelasah Papua New Guinea 10-0 pada perlawanan Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pemain Johor Darul Ta’zim itu juga berbangga tampil memperagakan aksi mengagumkan sambil tidak lupa memberikan kredit kepada rakan sepasukan yang membantunya untuk mencipta gol.
“Alhamdulillah, pertama sekali saya bangga tapi bukan sebab empat gol saya tapi kerana rakan sepasukan bantu saya untuk jaringkan gol pada malam ini,” katanya selepas perlawanan.
Bintang sayap negara itu yang dipilih pemain terbaik perlawanan berjaya merekod gol masing-masing pada minit ke-57′, 60′, 87′ dan 89′ dan turut mencipta tiga bantuan gol buat rakan sepasukan.
““Ya memang semua tahu separuh masa pertama memang kita bergelut sikit tapi jurulatih (Kim Pan-gon) sentiasa memberi semangat kerana kita berjaya cipta banyak peluang pada separuh masa pertama tapi tiada rezeki untuk gol,” katanya masih belum berpuas hati di sebalik kemenangan dalam dua aksi berturut-turut di bumi Terengganu.
Arif juga berkata, setiap perlawanan yang diharungi pada masa ini dijadikan sebagai persediaan skuad negara untuk ke Piala Asia 2023 di Qatar nanti.
“Bagi saya tiada sebab untuk saya berpuas hati kerana ini adalah persiapan kami ke Piala Asia dan persediaan ini amat penting untuk pemain dan pasukan Harimau Malaya” katanya tekad perbaiki kelemahannya bagi terus memenangi kepercayaan Pan-gon.