PENANTIAN enam tahun Johor Darul Takzim (JDT) akhirnya berakhir apabila membuktikan mereka adalah kuasa besar liga tempatan apabila berjaya membenam cabaran Terengganu FC, 3-1 pada aksi akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Arif Aiman membuka gol dengan jaringan cantik pada minit ke -34 hasil hantaran Leandro Velazquez yang bijak menghidu kekosongan di bahagian sayap kanan Terengganu FC meletakkan JDT 1-0 di hadapan.
Meskipun Terengganu FC sesekali cuba melaungkan amaran dengan serangan balas pantas namun ia masih sukar bagi mereka merobek gawang JDT yang dikawal rapat Matthew Davies, Corbin Ong, Shane Lowry dan Shahrul Mohd Saad.
Sebaik babak kedua bermula, JDT enggan menoleh ke belakang apabila terus bernafsu menambah gol seterusnya dan ianya diterjemahkan Bergson Da Silva menerusi sepakan penalti pada minit ke-63.
Enggan mengalah, Sang Penyu kembali memperkemas corak permainan dan Tchetche Kipre berjaya merapatkan jurang gol menyaksikan kedudukan berubah menjadi 1-2.
Kegagalan komunikasi di antara penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim dengan barisan pertahanan sekali lagi dihukum apabila Bergson Da Silva membuat tolakan lemah namun ia suduh cukup menggamatkan suasana di stadium dengan jaringan ketiga JDT.
Selain itu, Fernando Forestieri juga berjaya mengekalkan penjaring terbanyak Piala FA dengan ledakan enam gol sepanjang pertandingan musim ini.
Untuk rekod, ini adalah piala ke-20 yang diraih skuad Harimau Selatan sejak tahun 2013 manakala kejuaraan Piala FA merupakan trofi yang kedua.