PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Hanapi dan Bergson Da Silva masing-masing memilih detik JDT layak ke Pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC 2022 sebagai momen terbaik mereka sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan.

JDT mencipta sejarah muncul kelab pertama Malaysia layak ke peringkat kalah mati kejohanan terbesar kelab Asia itu selepas mengejutkan wakil Republik Korea, Ulsan Hyundai dalam aksi dramatik di Stadium Sultan Ibrahim.

Perkara itu didedahkan sendiri Arif dan Bergson ketika menjawab soalan para penyokong semasa sesi ‘Meet and Greet’ sempena JDT Fans Fest 2024 yang berlangsung minggu lalu.

Bergson menjawab soalan penyokong ketika JDT Fans Fest 2024

Kedua-dua tonggak utama Harimau Selatan itu begitu teruja melayan kerenah penyokong yang tidak henti-henti memanggil nama mereka terutama kanak-kanak yang sememangnya menjadikan Arif dan Bergson sebagai idola bola sepak.

Dalam majlis yang sama, Arif turut mendedahkan tidak ada apa yang difikirkan olehnya ketika membuat larian pantas semasa aksi Malaysia bertemu Republik Korea di Piala Asia 2023 yang memukau seluruh peminat bola sepak tempatan dan Asia.

“Semasa saya lari, saya tidak ada perasaan apa-apa, saya hanya lari,” katanya yang dicalonkan sebagai salah seorang pemain muda yang perlu diperhatikan di peringkat Asia.

Arif mendapat perhatian pemerhati bola sepak dunia sebagai antara pemain muda meningkat naik

Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu juga menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang sasaran berapa jumlah gol yang hendak dijaringkan musim ini sebaliknya hanya mahu memberikan aksi terbaik buat Harimau Selatan dalam setiap perlawanan.

“Bagi saya untuk musim baharu ini, secara peribadi saya tidak letakkan sebarang sasaran untuk jaringkan gol tetapi lebih fokus untuk berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” jelasnya.

Arif dan Bergson kini sedang giat menjalani latihan pramusim sebelum musim baharu Liga Malaysia membuka tirai pada Mei dan kedua-duanya tidak sabar untuk meneruskan rentak cemerlang JDT mencipta kejuaraan liga kali ke-11 berturut-turut.

Kredit hantaran di X @NorphGun