“SAYA mahu buktikan pemain tempatan juga sama hebat dengan pemain antarabangsa dalam Liga Juara-Juara AFC ini,” itulah kata-kata keramat dari seorang pemain berusia 21 tahun ketika menjawab soalan media sehari sebelum aksi bertemu BG Pathum United.
Kenyataan itu sudah cukup untuk menunjukkan kematangan yang ada pada diri Arif Aiman Hanapi selain dari keyakinan serta kepercayaan kepada kemampuan dirinya sendiri dalam dunia bola sepak moden ini.
Pada petang Selasa, pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akhirnya membuktikan bahawa dia bukanlah membuat cerita dongeng sebaliknya dia membuktikan apa yang dikatakan dengan persembahan lima bintang yang memukau pertahanan lawan.
Satu gol dan satu bantuan jaringan sudah cukup untuk memberikan mimpi ngeri buat pengendali BG Pathum, Surachai Jaturapattarapong yang sering menyebut nama Arif Aiman sebagai pemain paling bahaya dalam skuad JDT apabila tewas dengan jaringan 4-1.
Arif Aiman juga memberikan rasa tidak percaya kepada penyokong lawan semasa aksi di Pathum Thani apabila dia meledak dua gol cantik untuk memberikan kemenangan 4-2 buat Harimau Selatan ketika itu.
Saham Arif kini semakin melonjak bukan hanya di peringkat kelab tetapi juga di peringkat antarabangsa ekoran aksi cemerlang bersama JDT dan Harimau Malaya serta berkemungkinan menarik minat kelab-kelab luar negara untuk mendapatkan khidmatnya.
Surachai ketika ditanya mengenai aksi Pemain Paling Bernilai itu mengakui Arif layak bermain di liga Jepun mahupun Korea Selatan tetapi persoalan utamanya adalah, bolehkah pemilik JDT melepaskannya begitu mudah.
“Arif sememangnya mempunyai kualiti yang cukup baik untuk bermain di Jepun atau pun di Korea Selatan tetapi persoalannya adakah pemilik JDT akan lepaskan dia,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Perjalanan karier Arif masih panjang dan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah pasti mempunyai perancangan untuknya mengembangkan lagi bakatnya dan Piala Asia di Doha pada Januari 2024 akan menjadi medan sebenar buat Arif membuktikan kemampuan dirinya bersaing dengan pemain handalan Asia.