PEMAIN paling bernilai Liga Malaysia, Arif Aiman Hanapi membuktikan dirinya menepati status itu apabila berjaya menggegar gawang Shanghai Port FC dua kali dalam aksi pertama Peringkat Liga Zon Timur, Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Pudong di Shanghai itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendahului dua kali tetapi terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata selepas tuan rumah bangkit mengikat kedudukan 2-2.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio menurunkan sembilan pemain import dengan hanya Arif Aiman dan Natxo Insa sahaja mewakili pemain tempatan mengikut kuota import bebas yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Arif Aiman meletakkan Harimau Selatan dihadapan pada penghujung babak pertama selepas larian pantasnya berjaya memerangkap pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan dari luar petak penalti menewaskan penjaga gol lawan.

Tersentak dengan gol itu, Shanghai Port menggandakan serangan pada permulaan babak kedua dan Gustavo berjaya menyamakan kedudukan selepas rembatan awal diselamatkan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre.

Tidak sampai 10 minit, Arif Aiman sekali lagi membuktikan kepantasan dan kepintarannya apabila merembat masuk gol kedua selepas menewaskan pertahanan Shanghai Port untuk JDT mendahului 2-1.

Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri digunakan skuad kendalian Kevin Muscat untuk mencari gol penyamaan dan akhirnya menerusi satu sepakan percuma dan keadaan kelam kabut, Willian Popp berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Beberapa pertukaran dilakukan Bidoglio untuk memperkemaskan lagi pasukan menuju minit-minit akhir permainan bagi mempertahankan satu mata berharga yang mahu dibawa pulang ke Iskandar Puteri.

Kedudukan 2-2 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT dianggap lulus ujian awal dalam cabaran bersama-sama pasukan Elite Asia dan menduduki tempat kelima dalam kedudukan liga selepas berakhir perlawanan pertama.

Harimau Selatan akan berhadapan satu lagi kelab Shanghai, Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim manakala Shanghai Port akan bertemu Pohang Steelers di Republik Korea pada 1 Oktober 2025.