TONGGAK utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus dahagakan kejayaan apabila menyasarkan mara sekali lagi ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.

Dia yang juga pemain sayap kebangsaan akui sedang mengalih perhatian terhadap pertembungan separuh akhir menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.

“Saya akan fokus kepada JDT pula. Saya mahu fokus perlawanan separuh akhir Isnin akan datang. Harapan saya adalah nak menang. Saya nak masuk final lagi untuk tahun ini,” katanya kepada media ketika ditemui FLASH SUKAN di Kuala Nerus, Terengganu.

Selasa lepas, pemain muda sensasi berusia 21 tahun itu membantu skuad Harimau Malaya meratah tanpa belas kasihan ke atas pasukan Papua New Guinea 10-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam pertemuan persahabatan Tier 1 2023.

Arif juga dipilih Pemain Terbaik Perlawanan selepas mencetak empat gol dan mencipta tiga bantuan gol buat rakan sepasukan.

Minggu lepas, Arif Aiman yang merupakan produk Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang meraih jaringan sulung bersama pasukan negara ketika membantu Malaysia menewaskan Kepulauan Solomon 4-1.