PEMAIN Paling Bernilai (MVP) 2021 dan 2022, Arif Aiman Hanapi sah kekal di Johor Darul Ta’zim selepas menandatangani lanjutan kontrak.

Perkara ini disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab yang memperlihatkan Arif menandatangani kontrak sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Arif Aiman Hanapi telah melanjutkan kontrak selepas musim 2023 yang mengagumkan di mana pemain muda itu menjaringkan 24 gol dan melakukan 19 bantuan jaringan.

“Arif, 21 tahun yang memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai musim 2021 dan 2022 melakukan debut dengan skuad senior pada Mac 2020. Arif menyertai Akademi JDT pada 2018 dan dinaikkan pangkat dari pasukan JDT IV, JDT III dan JDT II hingga ke skuad senior,” tulis kenyataan itu.

Pemain sayap itu juga muncul penjaring terbanyak tempatan dengan 12 gol selepas dia menjaringkan empat gol ketika aksi terakhir Liga Super menentang Penang FC pada Sabtu.

Dia juga muncul pemain paling banyak membuat bantuan jaringan dengan 12 bantuan dalam 26 perlawanan Liga Super musim ini mengatasi permain-pemain import.

Arif bukan sahaja cemerlang di peringkat kelab malah turut beraksi baik di kejohanan antarabangsa dan kini disenaraikan dalam 26 pemain untuk kem latihan pusat Harimau Malaya ke Piala Asia di Qatar bulan hadapan.