BEREGU lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi mahu dia dan pasangannya Yap Roy King mempamerkan aksi lebih stabil di pentas antarabangsa selepas ini, sekali gus mengelak daripada di kejar gandingan junior yang mula menyinar.
Melihatkan pencapaian Aaron Tai-Khang Kai Xing yang sudah menempa gelaran pada kejohanan senior, Cabaran Antarabangsa Toyota di Thailand, Wan Arif mengakui, mereka tidak boleh memperlahankan rentak lagi.
Pencapaian Aaron-Kai Xing dianggap cukup luar biasa pada usia 18 tahun.
“Ya, persaingan di bahagian beregu lelaki sekarang sangat bagus, Aaron-Kai Xing pada usia 18 tahun sudah ada gelaran kejohanan senior, itu amat jarang dicapai.
“Mungkin tiga atau empat bulan lagi mereka akan dapat masuk ke kejohanan lebih besar berstatus Super 100, Super 300 dan kami bersaing antara kami sekarang,” kata Wan Arif.
Wan Arif dan Roy King kembali ke pentas antarabangsa Mac lalu setelah Roy King baru pulih dari kecederaan lututnya, menyertai dua kejohanan di Eropah dan hampir merangkul gelaran di Masters Sepanyol.
“Jelajah Eropah bermula buruk, tidak menggembirakan pada minggu pertama di Switzerland kerana lugage kami tidak sampai.
“Di atas gelanggang kami beraksi teruk. Kami memenangi pusingan pertama dengan prestasi yang buruk sebelum tewas kepada Man Wei Chong-Tee Kai Wun, juga dengan aksi yang buruk.
“Selepas habis perlawanan saya hubungi jurulatih dan dia nasihatkan saya fokus kepada permainan saya dan biarkan Roy King mendapatkan rentaknya,” kata pemain yang mensasarkan ranking Top 30 tahun ini.
Mereka yang berada di ranking ke-50 dunia itu tidak menyangka dapat beraksi baik pada Masters Sepanyol dan melepasi sasaran ke suku akhir.
“Untuk melonjakkan ranking, saya dan Roy King tidak mahu sekadar mara ke suku atau separuh akhir, kami mahukan gelaran.. sekurang-kurangnya dua.
“Ketika ini, saya rasa masalah kami adalah pada mata-mata penting, selalu tewas kepada lawan,” ujar Wan Arif.
Menurutnya, jurulatih belum mendedahkan perancangan kejohanan berikutnya untuk mereka sertai selepas ini.
Tahun lalu, mereka meraih satu gelaran di Cabaran Antarabangsa Nantes, Perancis.